MUIS sokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan, selari konsep Siasah Syariah
Langkah jaga kestabilan perpaduan umat Islam di Malaysia ii
BANGI, 4 Muharam 1446H, Rabu – Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Peruntukan itu bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.
MUIS dalam kenyataan berkata, merujuk kepada perkara 4, adalah dinyatakan bahawa syarat-syarat bagi perlantikan mufti dan timbalan mufti mestilah daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah yang bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, Fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan juga mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan ijtihad-ijtihad para ulamak yang dipersetujui dalam Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan, serta mengamalkan tasawwuf Imam Al-Ghazali dan Imam Junaid Al-Baghdadi.
Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim melihat Rang Undang-Undang tersebut bersesuaian dengan konteks sejarah dan pembentukan identiti masyarakat Melayu Islam di Malaysia sejak awal kedatangan Islam di Tanah Melayu.
Katanya, usaha tersebut dapat menjaga kestabilan perpaduan umat Islam di Malaysia, sekali gus selari dengan konsep Siasah Syariah.
Ini selaras dengan saranan dan usaha MUIS dalam mengekang ajaran-ajaran aliran pemikiran songsang masa kini yang juga mengaku sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti aliran liberalisme, sekularisme dan lain-lain.
Beliau berharap kedudukan Islam dan institusi agama akan terus diperkasa – bahkan apa sahaja isu-isu melibatkan sensitiviti umat Islam akan dapat diselesaikan dengan panduan syarak dan Perlembagaan negara.
“Kita Malaysia menuju sebuah negara yang benar-benar menepati aspirasi Syariah dan terpandu atas landasan Al-Quran dan Sunnah,” katanya.
Berdasarkan naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang berkenaan antara lain memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.