Berita UtamaUtama

Perkasa terus sokong usaha Kedah tutup premis judi

Kesal ada pihak lakukan semakan kehakiman sedangkan judi tidak bawa faedah

ALOR STAR, 5 Muharam 1446H, Khamis – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) akan kekal menyokong kerajaan negeri Kedah dalam usahanya untuk menutup sepenuhnya aktiviti perjudian di negeri ini.

Ketua Penerangan Perkasa, Azrol Mansor memuji dasar dan langkah penutupan premis perjudian berdasarkan bidang kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah di Kedah.

“Perkasa Kedah merasa kesal dan kecewa kerana ada segelintir pihak yang melakukan semakan kehakiman bagi membenarkan kewujudan aktiviti perjudian yang menimbulkan banyak kesan buruk.

“Perkasa Kedah juga yakin mana-mana agama pun akan menghalang penganut- penganutnya daripada berjudi kerana ianya lebih menguntungkan pihak yang menjalankan aktiviti perjudian ini, tetapi tidak membawa apa-apa faedah kepada orang yang berjudi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Kedah akan menggunakan saluran perundangan dalam mempertahankan keputusan menutup premis judi di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini notis rayuan telah difailkan ke Mahkamah Rayuan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 24 Jun lalu.

Menurutnya, sementara itu notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi juga telah difailkan pada 4 Julai.

Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Mahkamah memutuskan tindakan mulai 1 Jan 2023 yang diluluskan semasa mesyuarat EXCO negeri Kedah itu adalah ‘ultra vires’ dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman disampaikan Hakim Mahazan Mat Taib pada 20 Jun lalu yang memihak kepada wakil tiga syarikat perjudian yang memfailkan saman terhadap kerajaan Kedah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker