Berita UtamaUtama

RUU Mufti akan dirujuk pada Majlis Raja-Raja

Perincian sedang dibincang, tidak ada pertikaian dalam soal ASWJ

KUALA LUMPUR, 5 Muharam 1446H, Khamis – Perincian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan baginda melalui Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang membuat hantaran di Facebook pagi semalam.

Anwar berkata, ketika ini RUU berkenaan dalam proses perbincangan di peringkat pakar.

“RUU Mufti sedang dibincang dan mendengar pandangan, (bagaimanapun) tidak ada pertikaian dalam soal Ahli Sunnah Wal Jamaah dan merujuk (mazhab) Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali serta pandangan lain.

“Cuma kadang-kala perincian itu ada dibincangkan… jadi saya serah kepada pakarnya dan kemudian akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, minggu depan,” katanya seperti dilapor BH.

RUU itu dibentangkan buat kali pertama pada 2 Julai lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Ia merupakan salah satu antara tiga RUU membabitkan hal ehwal Islam di negara ini.

RUU ini dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan di Dewan Rakyat.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merangkumi RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti itu juga menyenaraikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Selain itu, ia mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain iaitu Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala dari segi tasawuf pula, RUU Mufti berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker