Berita UtamaUtama

Lebih 11,000 profesional Malaysia mahu pulang ke tanah air

Pelbagai insentif ditawarkan termasuk pengecualian cukai

KUALA LUMPUR, 6 Muharam 1446H, Jumaat – Kira-kira 11,068 profesional Malaysia yang menetap di luar negara telah memohon untuk kembali ke tanah air, kata Kementerian Sumber Manusia.

Menterinya, Steven Sim berkata, sebanyak 6,969 daripada permohonan itu telah diluluskan mengikut rekod daripada Program Kepulangan Pakar (REP) di bawah Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) antara 2011 hingga 31 Mei tahun ini.

Beliau berkata, pelbagai insentif turut ditawarkan untuk menarik bakat tempatan berkemahiran tinggi kembali ke Malaysia, termasuk pelbagai pengecualian cukai.

Sim berkata, kementerian mengambil maklum isu ‘brain drain’ atau penghijrahan pakar dan sedang mencari jalan untuk diaspora Malaysia menyumbang kembali kepada negara tanpa mengira di mana mereka berada.

Untuk mencapai matlamat ini, Sim berkata, satu inisiatif Malaysia @ Heart atau MyHeart sedang dibangunkan dan akan diterajui oleh TalentCorp.

“MyHeart akan memudahkan cara bagi diaspora untuk berintegrasi kembali di Malaysia melalui pelbagai peluang pekerjaan, pendidikan untuk anak-anak mereka, peluang untuk bekerjasama dengan institusi tempatan, memudahkan permit untuk pasangan dan anak-anak di samping maklumat terkini mengenai pasaran pekerjaan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Sim menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang bertanyakan mengenai insentif yang disediakan kementerian untuk menarik bakat berkemahiran tinggi kembali ke Malaysia.

Mengenai perkara berkaitan, Sim berkata, ekspatriat profesional hanya membentuk 7.07 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia setakat 19 Jun 2024.

Ini berdasarkan bilangan pas aktif yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Pegawai Dagang Jabatan Imigresen.

Sementara itu, rakyat Malaysia membentuk baki sebanyak 92.93 peratus.

“Peratusan semasa membuktikan bahawa ekspatriat profesional tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan,” katanya.

Ini bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanyakan perkara itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker