Hamas nafi tarik diri rundingan gencatan senjata selepas serangan maut Israel di Gaza
92 orang terbunuh, 300 cedera rejim lancar serangan ke atas kem Al-Mawasi
GAZA, 9 Muharam 1445H, Isnin – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menafikan menarik diri daripada rundingan perbincangan gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan penjajah Israel.
Anggota Biro Politik Hamas, Izzat Al-Rishq menolak dakwaan laporan yang disiarkan Agensi Berita Perancis dan diedarkan secara tempatan.
Beliau berkata, laporan mengenai keputusan pergerakan Hamas untuk menghentikan rundingan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai Al-Mawasi di barat Khan Younis, adalah tidak berasas.
Peningkatan jenayah Israel terhadap rakyat kami oleh Benjamin Netanyahu dan kerajaan Nazinya adalah untuk mencapai matlamat mereka.
Israel berterusan menghalang jalan mencapai persetujuan untuk menghentikan pencerobohan terhadap rakyat kami, yang telah menjadi jelas kepada semua orang.
Terbaharu Israel melancarkan serangan maut Israel di Gaza dan cubaan bunuh ke atas Panglima Tertinggi Briged Al Qassam, Mohammed Al Deif di Al Mawasi, Timur Khan Younis.
Serangan Zionis ke atas kem Al-Mawasi semalam telah mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang dan mencederakan 300 yang lain termasuk wanita dan kanak-kanak.
Israel turut menyerang sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Nuseirat yang didakwa kononnya tempat persembunyian pejuang Hamas.
Ia adalah serangan kelima dalam tempoh lebih seminggu ke atas sebuah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan oleh penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal. – Agensi