Gaza terus berdarah
Pesawat bedil kawasan Al-Mughraqa, pinggir utara kem pelarian Nuseirat
GAZA, 10 Muharam 1446H, Selasa – Puluhan orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh malam tadi dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah keluarga Mana’ma di kem pelarian al-Maghazi di tengah Semenanjung Gaza.
Rejim penjajah Israel terus melancarkan serangan berdarah apabila turut membedil kawasan Al-Mughraqa dan pinggir utara kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Peluru pesawat Israel juga menghujani kawasan kejiranan Tal Al-Hawa, Sheikh Ajlin dan Al-Sabra di Gaza City.
Sumber hospital pula melaporkan, tiga orang maut akibat serangan ke atas sebuah rumah di bandar Deir al-Balah, juga di tengah-tengah wilayah pantai.
Manakala di selatan Gaza, tembakan artileri dan serangan helikopter terus menghentam timur bandar Khan Younis dan kawasan barat Rafah, berhampiran sempadan Mesir.
Peperangan masuk bulan kesembilan ini telah menyebabkan seluruh penduduk kehilangan tempat tinggal dan diancam kebuluran kerana bantuan kemanusiaan yang terlalu terhad. – Agensi