Peraturan anti lompat parti: Perlukah pindaan?
Kes bekas enam MP Bersatu patut hilang kerusi jika berdasarkan Perkara 49A
BANGI, 10 Muharam 1446H, Selasa – Undang-undang mengekang budaya lompat parti yang diperkenalkan pada 2022 dalam bentuk pindaan Perlembagaan, dengan memasukkan Perkara 49A sepatutnya sudah cukup untuk mengatasi budaya lompat parti.
Pindaan itu bertujuan untuk memberikan tafsiran kepada fasal (1)(a)(ii) yang menyebut frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’.
Mengulas mengenai kes enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah, Pensyarah Undang-Undang UTM, Prof Madya Dr Fathi Yusof berkata, sepatutnya mereka dianggap hilang kerusi berdasarkan Perkara 49A dan peruntukan perlembagaan parti Bersatu.
Namun, apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan berbeza, maka timbul pula persoalan berkaitan penambahbaikan undang-undang bagi mengatasi kelompongan yang wujud.
Sekiranya penambahbaikan undang-undang hendak dilaksanakan, Dr Fathi mencadangkan supaya ditambah perenggan (c) pada Perkara 49(1) dengan memasukkan ketetapan bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong apabila ‘dia memberikan kepercayaan atau sokongan kepada pemimpin atau parti yang berlainan dari partinya tanpa kebenaran dari parti yang dianggotainya’.
“Peruntukan ini penting supaya sesebuah kerajaan yang ditubuhkan akan lebih stabil dan dapat mengelakkan dari perubahan pentadbiran yang drastik yang boleh berlaku bila Perdana Menteri hilang sokongan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa asas penubuhan kerajaan berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan ialah budi bicara Yang Di-Pertuan Agong yang merujuk kepada soal ‘kepercayaan’ yang diberikan oleh anggota Dewan Rakyat kepada seseorang calon Perdana Menteri berkenaan.
“Jadi soal ‘kepercayaan’ sebenarnya lebih penting daripada soal ‘keahlian parti’ dalam konteks penubuhan dan kejatuhan sesebuah kerajaan.
“Dalam masa yang sama penambahan sebab kekosongan kerusi ini dapat mengelakkan mana-mana wakil rakyat mengkhianati partinya dengan memberikan sokongan kepada parti lawan tanpa mengisytiharkan keluar dari parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang beralih arah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).