Berita UtamaDuniaUtama

Israel bunuh 300 orang dalam serangan di Khan Younis

Tentera Zionis halang selamatkan mangsa cedera, mayat reput

GAZA, 25 Muharam 1446H, Rabu – Agensi pertahanan awam Gaza mengesahkan, pencerobohan Israel di dalam dan sekitar Khan Younis telah membunuh kira-kira 300 orang sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmud Bassal berkata, jumlah syahid di Khan Younis telah melebihi jangkaan awal, dengan sekurang-kurangnya 300 orang disahkan terbunuh oleh tentera Israel.

“Sejak permulaan pencerobohan darat Israel di bahagian timur wilayah Khan Younis, pasukan pertahanan awam dan perubatan telah menemui kira-kira 300 mayat syahid, kebanyakannya telah reput,” kata jurucakap agensi Mahmud Bassal.

Agensi itu berkata, berpuluh-puluh mayat ditemui di Bani Suhaila berikutan pengunduran tentera Israel dari kawasan timur Khan Younis. 

Tentera Israel dilaporkan menghalang pengambilan mangsa yang cedera, mengakibatkan kematian dan pereputan mayat.

Angka kematian mungkin lebih tinggi, dengan 200 laporan kehilangan rakyat Palestin di timur Khan Younis.

“Krew kami masih mencari orang yang hilang,” kata agensi itu.

Penduduk Palestin di Khan Younis sedang memasang khemah di rumah mereka yang musnah. Ramai yang kembali ke Khan Younis selepas dipindahkan secara paksa minggu lalu oleh serangan Israel.

Pencerobohan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 180,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dalam empat hari pertama, dengan ramai yang terpaksa meninggalkan harta benda mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selepas sembilan hari pengeboman, tentera Israel meninggalkan jejak kemusnahan dan kehancuran kepada semua cara hidup, termasuk kemudahan awam, perkhidmatan sosial dan kemudahan di seluruh bandar.

Orang ramai yang sedang menuju ke rumah kediaman mereka menyifatkan perkara yang mereka lihat sebagai “mengerikan”. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker