Al-Azhar kutuk jenayah kejam entiti penjajah terhadap Ismail Haniyeh
Tak akan lemahkan semangat tubuh Negara Palestin yang merdeka

KAHERAH, 26 Muharam 1446H, Khamis – Institusi keilmuan Islam Sunni terkemuka Mesir, Al-Azhar Al-Sharif mengutuk jenayah kejam dan khianat yang dilakukan entiti penjajah terhadap pemimpin Palestin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh.
Al-Azhar dalam satu kenyataan berkata, syahid dan pejuang tersebut telah mendedikasikan hidupnya untuk mempertahankan tanahnya dan perjuangan orang Arab dan umat Islam, iaitu Palestin yang teguh dan merdeka.
Kenyataan itu menekankan bahawa pembunuhan sedemikian tidak akan melemahkan keazaman rakyat Palestin yang sedang berjuang.
Mereka telah melakukan – dan terus melakukan – bagi menuntut semula hak menubuhkan Negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota, katanya.
Ismail Haniyeh dilaporkan dibunuh dalam serangan di ibu kota Iran pada Rabu, di tengah-tengah Perang Gaza yang berlarutan selama lebih 10 bulan.
Haniyeh berada di Iran untuk menghadiri perasmian Presiden terpilih Iran, Masoud Pezeshkian. – Agensi