Berita UtamaDuniaUtama

Somalia tegaskan pembunuhan pemimpin Hamas langgar undang-undang antarabangsa

Desak henti segera pencerobohan Israel ke atas Gaza

MOGADISHU, 26 Muharam 1446H, Khamis – Somalia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh, dan menyifatkan insiden keji itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Anadolu.

Haniyeh, yang berada di Tehran untuk menghadiri majlis perasmian Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, terbunuh akibat serangan udara di rumah tetamunya, awal pagi semalam. 

Walaupun Israel didakwa melakukan serangan, rejim pendudukan itu tidak mengaku atau menafikan bertanggungjawab.

“Kami mengucapkan takziah sepenuh hati kepada rakyat Palestin. Kami bimbang kadar keganasan yang semakin meningkat boleh membawa kepada lebih banyak pelanggaran terhadap orang awam,” menurut kenyataan Kementerian Luar Somalia.

Mogadishu mengutuk pembunuhan politik dan keganasan dalam semua bentuk, walau apa pun motifnya, kata kenyataan itu.

Ia menekankan keperluan bagi masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawabnya dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza dan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan itu berlaku ketika ketegangan antara Israel dan Lubnan meningkat. Beberapa jam sebelum itu, tentera Israel mendakwa membunuh pemimpin Hizbullah, Fuad Shukr, di Beirut.

Peperangan pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas Gaza juga berterusan, di mana Israel telah membunuh hampir 40,000 rakyat Palestin sejak 7 Oktober dan menyebabkan sebahagian besar wilayah itu musnah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker