KLUANG, 27 Muharam 1446H, Jumaat – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia jam 12.25 tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menerusi kenyataan Facebook.
Beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah, dan mendoakan roh Allahyarhamah diletakkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka mengenai pemergian ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
“Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ummi’, amat dirasai kerana beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.
“Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota, tidak akan dilupakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital selepas mengalami pendarahan dalaman.
Beliau juga pernah dilapor mendapatkan rawatan di hospital, Mac lalu, berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.