Gerakan nak keluar PN? Silakan, cabar Sanusi
'Bukan kita tolak dia keluar. Tapi, kalau nak keluar, pintu sentiasa ada'
ALOR SETAR, 27 Muharam 1446H, Jumaat – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan parti Gerakan supaya tidak mengugut untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN), tetapi sekiranya benar sudah tidak persefahaman, mereka boleh berbuat demikian.
“Dia yang buat kenyataan secara terbuka, ugut nak keluar PN. Sila keluar. Itu respons kami.
“Dia kata kalau tak ikut pandangan mereka, Gerakan akan keluar PN. Silakan, ‘the door is there’ (pintu ada di sana).
“Bukan kita tolak dia keluar. Tapi, kalau dia nak keluar, pintu sentiasa ada. Boleh keluarlah, bukan tak boleh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, beliau bukan angkuh sehingga menyatakan sedemikian, tetapi hanya mengulas kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.
Sebelum ini, Tong Keong dilaporkan berkata, mereka tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.
Dakwanya, Gerakan pernah berundur daripada Barisan Nasional (BN) untuk menentang rasuah dan salah guna kuasa, parti itu tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PN jika sekutunya terus mengejar ekstremisme dan mencabul hak orang bukan Islam.
Mengulas perkara itu, Muhammad Sanusi percaya Gerakan bertindak demikian kerana didorong oleh kehendak untuk menyenangkan hati pengundi Cina.
Namun katanya, bagi pihak PAS, mereka tidak akan mengikut telunjuk parti lain kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.
“Bincang dalam mesyuaratlah secara dalaman. Kalau Gerakan ada rasa tidak puas hati pada PAS, cakaplah.
“Kami (PAS) tak ada apa pun masalah. Kita hanya jawab apa dia kata. Dia yang ada masalah, dia punya pasal lah,” katanya.