Berita UtamaDuniaUtama

Ismail Haniyeh dibunuh dengan bom yang diseludup masuk ke rumah tamu 2 bulan lalu

Sumber Timur Tengah nilai operasi itu libatkan perancangan beberapa bulan

TEHRAN, 27 Muharam 1446H, Jumaat – Pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh dibunuh oleh bahan letupan yang telah diseludup masuk dua bulan lalu ke rumah tamu yang didiaminya di Iran, lapor New York Times.

Memetik lima pegawai Timur Tengah, akhbar itu berkata: “Bom itu telah disembunyikan kira-kira dua bulan lalu di rumah tamu itu… Bom itu diletupkan dari jauh, sebaik sahaja (Ismail Haniyeh) disahkan berada di dalam biliknya di rumah tamu itu.”

Bom itu membunuh Haniyeh dan pengawal peribadinya dan menyebabkan kerosakan pada bangunan.

Pegawai Timur Tengah memberitahu Times bahawa ketepatan letupan itu memerlukan perancangan berbulan-bulan dan pengawasan yang meluas.

Dua pegawai Iran berkata, mereka tidak tahu bagaimana atau bila bom itu diseludup ke dalam bilik Haniyeh, walaupun lima pegawai Timur Tengah mendakwa, ia diletakkan di sana kira-kira dua bulan lalu.

Beliau sebelum ini berada di Tehran untuk menghadiri majlis perasmian Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada hari Selasa.

Anggota IRGC yang dipetik oleh Times berkata, ketepatan serangan itu mengingatkan pada mesingan kendalian jauh yang digunakan oleh pasukan Mossad untuk membunuh saintis nuklear Iran Mohsen Fakhrizadeh pada 2020.

Menurut laporan itu, kakitangan perubatan kompaun bergegas ke bilik Haniyeh selepas bom itu meletup, kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan, dan mengisytiharkan beliau mati di tempat kejadian. 

Mereka juga mengumumkan pengawal peribadinya mati selepas usaha menyelamatkannya.

Pegawai kanan Hamas, Khalil Al-Hayya juga datang ke tempat kejadian, di mana beliau melihat mayat Haniyeh, kata lima pegawai Timur Tengah memberitahu Times.

Kompaun tempat Haniyeh dibunuh kini sedang dalam penelitian.

Terdapat spekulasi bahawa Israel telah membunuh Haniyeh dalam serangan dron, namun pihak berkuasa pendudukan tidak mengulas mengenai pembunuhannya, walaupun Hamas berkata beliau terbunuh dalam serbuan Zionis.

Dua pegawai Iran berkata, Pemimpin Jihad Islam Palestin, Ziyad Al-Nakhalah, tinggal di bilik bersebelahan.

“Biliknya tidak rosak teruk, ini adalah perancangan yang tepat dalam menyasarkan Ismail Haniyeh,” katanya.

Pengguna media sosial Iran telah menunjukkan bahawa rumah tamu itu terletak berhampiran Kompleks Saadabad di utara Tehran. 

Gambar terbaru menunjukkan kerosakan di tingkat atas bangunan pangsapuri. Bahagian struktur yang rosak itu kini telah ditutup dengan terpal, dan serpihan boleh dilihat di atas tanah.

Menurut Times, lima pegawai Timur Tengah berkata bahawa pegawai perisikan Israel memberi keterangan kepada Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan Barat lain mengenai butiran operasi itu sejurus selepas itu.

Laporan itu juga mengatakan bahawa beberapa pegawai AS telah mencapai penilaian bahawa Israel bertanggungjawab atas pembunuhan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker