Israel ‘nantikan’ serangan balas selepas pembunuhan Ismail Haniyeh, mahu cetus perang skala besar
Jelas rejim haram enggan laksana gencatan senjata, Netanyahu mahu rakyat lihatnya sebagai ‘hero’
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 27 Muharam 1446H, Jumaat – Pembunuhan Ketua Biro Politik, Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh jelas menyampaikan mesej bahawa rejim haram Israel sama sekali tidak mahukan gencatan senjata, malah berharap akan ada serangan balas selagi objektifnya di Gaza belum tercapai.
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, secara retorik, pemimpin Iran sudah menyatakan kesediaan untuk melancarkan peperangan skala penuh terhadap Israel, namun ini adalah tindakan yang diingini Israel.
“Mereka (rejim Israel) memang jangka dengan pembunuhan ini akan ada serangan balas yang membawa kepada peperangan lebih besar.
“Dengan berlakunya serangan balas, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mempunyai justifikasi untuk terus memimpin rejim haram Israel dan mendapatkan sokongan daripada sekutunya seperti Amerika Syarikat (AS), dan negara lain,” katanya dalam rancangan Pantau Agenda Reformasi: ‘Gaza dan Asia Barat selepas pembunuhan Ismail Haniyeh’ di Astro Awani.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Netanyahu sememangnya mencari kaedah untuk memanjangkan hayat politiknya, dan berterusan mencari sebab untuk melanjutkan perang di Gaza.
“Kenapa dia nak teruskan perang, kerana objektif masih belum dicapai, iaitu untuk ‘wipe out’ Gaza sepenuhnya. Ini masih belum dicapai.
“Ini kerana, dari dalam negara haram Israel sendiri wujud tekanan daripada rakyat untuk hentikan perang, teruskan rundingan, kembalikan tawanan dan sebagainya. Jadi untuk mengembalikan keyakinan rakyat, dia cuba mencapai objektif perang, cuba menjadi hero,” katanya lagi.
Namun, Syed Israa’ berkata, tindakan Israel ini mungkin memakan diri sendiri kerana beliau yakin negara Arab yang sudah menormalisasi hubungan dengan Israel akan mula merasakan tekanan kerana tidak dapat menerima pembunuhan Ismail Haniyeh.
“Sebelum ini mereka mungkin tidak menentang apa yang Israel buat. Mereka terikat.
“Namun dalam keadaan sekarang, tekanan semakin bertambah, nak tak nak, negara-negara ini hatta seperti Mesir, Jordan dan sebagainya yang lebih awal mempunyai perjanjian dengan Israel, tidak boleh menerima pembunuhan ini walaupun mungkin mereka belum secara rasmi menyatakan pendirian secara jelas seperti Qatar, Turkiye,” katanya.
Tegasnya, tindakan membunuh Ismail Haniyeh yang merupakan tokoh untuk berunding, tokoh diplomasi yang sepatutnya boleh menghentikan konflik ini seumpama masalah baru yang dicipta Israel.
“Ini meletakkan Barat, negara Arab yang bersekutu dengan Israel dalam keadaan canggung dan susah. Saya yakin situasi ini memperlihatkan lagi wajah Israel. Sebelum ini mungkin orang tertanya-tanya adakah Israel nak teruskan perang atau nak berunding.
“Sekarang kita faham bahawa Israel tak pernah ada niat untuk menamatkan rundingan ini dengan berjaya. Sedangkan dengan orang yang cuba berunding pun dia bunuh. Bermakna mereka tiada niat untuk melaksanakan gencatan senjata,” katanya.
Syed Israa’ berkata, tindakan rejim pendudukan ini sekali gus membuka mata negara Timur Tengah dan mata dunia.
“Tekanan akan dirasai Israel jika momentum ini berterusan, kini tidak ada sebab untuk Israel ini dibenarkan lagi atau dibela lagi dalam apa cara sekali pun,” katanya.