Masjid di Terengganu adakan solat jenazah ghaib untuk Ismail Haniyeh
Tanda penghormatan dan solidariti umat Islam di negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Muharam 1446H, Jumaat – Masjid di Terengganu akan mengadakan solat jenazah ghaib untuk Ketua Biro Politik Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan rejim Israel di Tehran, Iran, kelmarin.
Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Zulkefli Othman berkata, pihaknya mengeluarkan surat pekeliling kepada semua pejabat agama daerah di seluruh negeri bagi meminta pengurusan masjid mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Isyak, malam ini.
“Seperti yang kita sedia maklum, Ketua Biro Politik Hamas yang juga bekas Perdana Menteri Palestin kembali ke rahmatullah kelmarin.
“Sebagai tanda penghormatan dan solidariti umat Islam di negeri ini kepada allahyarham, JHEAT memohon kerjasama pengurusan masjid dan jemaah untuk mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Isyak malam ini,” katanya melalui kenyataan yang diedarkan kepada pejabat agama di seluruh negeri.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta semua masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Ismail Haniyeh.