PRK Nenggiri: PAS yakin Ustaz Wadi calon terbaik
Calon miliki disiplin ketenteraan, proses pentarbiahan yang telah teruji
BANGI, 27 Muharam 1446H, Jumaat – PAS menzahirkan keyakinan dan sokongan penuh terhadap pencalonan Mohd Rizwadi Ismail yang juga dikenali sebagai Ustaz Wadi bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 DUN Nenggiri.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bekas pemimpin Pemuda PAS berusia 41 tahun itu adalah calon terbaik untuk mendepani pilihan raya yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan.
“Pemilihan calon yang bersesuaian dengan suasana setempat, mesra anak muda dan dekat dengan masyarakat menjadi faktor terpenting dalam aspek pemilihan calon, di samping kekuatan jentera pilihan raya yang menjadi sandaran.
“Berbekalkan disiplin ketenteraan dan proses pentarbiahan yang telah teruji, PAS merestui dan menaruh kepercayaan terhadap Saudara Rizwadi untuk menggalas tugas sebagai calon Perikatan Nasionalz
“… seterusnya menjadi wakil rakyat yang akan membela kebajikan dan kesejahteraan hidup seluruh warga Nenggiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau berkata, PAS telah menggerakkan jentera parti di peringkat negeri Kelantan dan seluruh negara bagi memenangkan Rizwadi, yang akan menggunakan lambang ‘Bulan’ dalam PRK ini.
“Diharapkan proses penamaan calon dan tempoh berkempen akan berlangsung secara matang, adil dan saksama.
“Pertahan Nenggiri, Undi Bulan,” katanya.
Isnin lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan Mohd Rizwadi sebagai calon bagi PRK DUN Nenggiri di Masjid Hijau Renok, Gua Musang.
Sebelum menyertai Bersatu, Mohd Rizwadi pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang.
Sebelum ini, menurut sumber, Mohd Rizwadi dikatakan baru menyertai Bersatu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon.