Hamas bincang pengganti Ismail Haniyeh
Keputusan rundingan akan diumumkan sebaik sahaja selesai
GAZA, 30 Muharam 1446H, Isnin – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) telah memulakan perbincangan untuk memilih pemimpin baharu kumpulan pejuang tersebut selepas pembunuhan Ketua Biro Politiknya, Ismail Haniyeh.
“Berikutan kesyahidan pemimpin kami, para pemimpin pergerakan telah memulakan proses perundingan yang luas dalam hierarki dan institusi penasihatnya untuk memilih ketua baharu,” kata gerakan itu dalam satu kenyataan disiarkan di akaun media sosialnya.
Hamas berkata, pembunuhan Haniyeh hanya akan menjadikan perjuangan membebaskan Palestin lebih kuat serta berazam untuk meneruskan laluan dan pendekatannya.
Kumpulan itu berkata, keputusan perundingan akan diumumkan sebaik sahaja ia selesai.
Haniyeh telah dibunuh di ibu negara Iran, Tehran, awal hari Rabu dalam serangan yang dipersalahkan oleh pegawai Iran terhadap Israel. Pengawal peribadinya juga terbunuh.
Iran dan kumpulan yang sealiran dengannya di Timur Tengah telah berjanji untuk membalas dendam pembunuhan Haniyeh.
Israel – yang dituduh oleh Hamas, Iran dan lain-lain melakukan serangan itu – tidak secara langsung mengulas mengenai pembunuhan itu.
Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis perasmian Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
Selepas pengebumian di Tehran, di mana solat diimamkan oleh Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei pada hari Khamis, jenazah Haniyeh diterbangkan ke Doha untuk dikebumikan.
Pemimpin Hamas itu berpangkalan di ibu negara Qatar, di mana rundingan dengan Israel termasuk Mesir dan Amerika Syarikat, mengenai gencatan senjata di Gaza telah diadakan sejak perang bermula pada Oktober. – Agensi