Berita UtamaUtama

Menteri Luar nasihat rakyat Malaysia di UK elak kawasan protes

Daftar di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk mudahkan urusan keselamatan

SEREMBAN, 30 Muharam 1446H, Isnin – Bantahan di beberapa kawasan di United Kingdom (UK) semakin membimbangkan dan ada yang bertukar menjadi ganas, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melawat UK supaya menjauhi kawasan protes dan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk memudahkan urusan keselamatan.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak berada di tempat yang dijangka menjadi kawasan sasaran, sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan agar kita dapat tahu mereka berada dalam keadaan baik,” katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata, bantahan semasa di negara-negara Eropah mencerminkan corak baharu kumpulan sayap kanan yang menunjukkan toleransi yang sangat rendah, dan beliau berharap insiden ini tidak akan terus merebak.

Katanya, penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial adalah berbahaya dan menimbulkan masalah tambahan kepada sesebuah negara.

Kementerian Luar dalam kenyataan sebelum ini berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di alamat 45 – 46 Belgrave Square, London, UK atau telefon +44 20 3931 6196 atau +44 20 7235 8033 atau e-mel di [email protected].

Dilaporkan pihak berkuasa UK berada di bawah tekanan untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun berikutan insiden tikaman pada 29 Julai yang mengakibatkan kematian tiga kanak-kanak di Southport.

Perdana Menteri UK, Keir Starmer memberi amaran kepada penunjuk perasaan sayap kanan pada hari Ahad bahawa mereka akan menyesal menyertai rusuhan itu.

Penunjuk perasaan bertopeng yang menentang imigresen memecahkan beberapa tingkap di sebuah hotel di Rotherham, South Yorkshire, yang didiami pencari suaka.

Pergolakan itu, yang didorong oleh maklumat salah mengenai kejadian tikaman beramai-ramai di Southport Isnin lalu, telah merebak ke pelbagai pekan dan bandar, membawa kepada pertempuran antara penunjuk perasaan anti-imigresen dan polis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker