Perangi gejala buli elak berakar umbi sejak sekolah
Pemikiran tidak rasional 'buli dibalas buli' harus dikikis
BANGI, 1 Safar 1446H, Selasa – Kes kekejaman buli sehingga menyebabkan kematian bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 benar-benar menyentuh hati masyarakat sehingga hari ini.
Apatah lagi, kita sering dihidangkan dengan pelbagai berita buli di institusi pendidikan terutama di sekolah dan lebih membimbangkan, ia sering berlaku secara berkumpulan.
Justeru, kejadian tragik menimpa Zulfarhan harus menjadi isyarat keperluan mendesak memerangi kes buli dari peringkat awal kerana budaya ini berakar umbi sejak di bangku sekolah, terutama di asrama.
Prof Madya Dr Mastura Mahfar berkata, perbuatan buli kecil boleh berkembang menjadi masalah besar dan berbahaya jika tidak ditangani di peringkat awal.
Atas sebab itu, garis panduan pengurusan buli dan gangguan seksual dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) tahun lalu perlu diterapkan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bagi mengekang gejala buli daripada terus meningkat.
Katanya, pihak pengurusan sekolah perlu memberikan panduan jelas pencegahan buli serta langkah perlu diambil kepada seluruh warga sekolah jika berlaku kes buli.
“Sementara itu, guru kaunseling perlu kreatif dalam strategi dan intervensi untuk memutuskan rantaian buli. Pemikiran tidak rasional ‘buli dibalas buli’ harus dikikis.
“Pendidikan awal apa itu buli, jenis buli, termasuk buli siber dan kesan negatifnya seharusnya dimulakan dari sekolah rendah, diperkukuh di sekolah menengah,” katanya memetik rencana disiarkan Berita Harian.
Pada masa sama, penggunaan gajet perlu dipantau dan dihadkan untuk memastikan anak hanya mengakses kandungan sesuai dan tidak mempengaruhi tingkah laku mereka secara negatif.
Ia bagi mengelakkan mereka menjadi ganas dan ‘kemaruk hendak menang’ akibat pengaruh permainan ‘tembak-tembak’ dalam talian.