GSPP sambut baik pelantikan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Hamas
Isyarat gerakan pejuang tidak berundur berhadapan rejim pengganas Israel
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 2 Safar 1446H, Rabu – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyambut baik pelantikan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bagi menggantikan As-Syahid Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran, Iran.
Pengerusinya, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, pelantikan ini dilihat bersesuaian dengan fasa yang dilalui oleh Palestin sekarang.
“Rakyat Palestin amat memerlukan pemimpin yang berani dan teguh dalam membela nasib mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan Yanya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik pergerakan itu memberi isyarat bahawa mereka tidak berundur dalam berhadapan dengan rejim pengganas Israel.
“Tindakan membunuh Ismail Haniyeh dibalas oleh Hamas dengan langkah yang akan lebih menyukarkan Israel.
“Hamas melihatkan dirinya bersedia untuk perang yang lebih panjang.
“GSPP mendoakan keselamatan berpanjangan buat Yahya Sinwar. Moga Allah meneguhkan pendirian beliau dalam memimpin umat di saat yang kritikal ini,” katanya.
Selepas dua hari rundingan panjang di Doha, Hamas telah menamakan Yahya Sinwar sebagai ketua baharunya, menggantikan Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran minggu lalu.
Media antarabangsa yang memetik pegawai kanan Hamas melaporkan, kepimpinan Hamas sebulat suara memilih Yahya Sinwar untuk mengetuai pergerakan itu.
Yahya Sinwar dilahirkan di kem pelarian Gaza, selatan Khan Younis, dan merupakan bekas ketua unit keselamatan Al-Majd, yang ditugaskan untuk menghapuskan warga Palestin yang disyaki bersekongkol dengan Israel.
Sejak 2017, Sinwar telah berkhidmat sebagai pemimpin kumpulan itu di dalam Semenanjung Gaza. Beliau kini akan menjadi ketua sayap politiknya.