Berita UtamaUtama

ISMA ucap tahniah kepada Yahya Sinwar atas pelantikan sebagai ketua Hamas

‘Semoga Allah memberkati Yahya Sinwar, pasukannya dalam memikul amanah’

BANGI, 2 Safar 1446H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan tahniah kepada Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) atas pelantikan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Hamas baharu.

Yahya menggantikan As-Syahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh di Tehran sewaktu menghadiri Majlis Angkat Sumpah Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian.

“Semoga Allah memberkati dan membantu Yahya Sinwar dan pasukannya dalam memikul amanah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap Hamas, Osama Hamdan berkata, Sinwar dipilih sebulat suara sebagai pemimpin baharu, mencerminkan pemahaman pergerakan itu mengenai keperluan semasa kumpulan itu.

Beliau berkata bahawa Sinwar sentiasa terlibat dalam rundingan untuk gencatan senjata dengan Israel.

“Gerakan Perjuangan Islam Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh yang syahid, semoga Allah merahmatinya,” kata Hamas dalam satu kenyataan ringkas.

Sinwar, yang rapat dengan pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin dan terkenal sebagai pengasas badan keselamatan dalaman Hamas, sebelum ini dijatuhi hukuman empat penjara seumur hidup oleh Israel pada akhir 1980-an.

Sinwar berkhidmat selama 23 tahun mengetuai unit keselamatan dalaman pertama kumpulan itu, Al-Majd, yang menyasarkan dan membunuh rakyat Palestin yang disyaki bekerjasama dengan Israel.

Pada 2011, beliau dibebaskan bersama 1,047 tahanan Palestin sebagai pertukaran untuk tentera Israel, Gilad Shalit, yang diculik oleh pejuang Palestin dalam serbuan rentas sempadan pada 2006.

Sinwar, bekas komander sayap tentera Hamas, kembali ke jawatannya sebagai pemimpin terkemuka di Hamas dan dipilih sebagai ketua pejabat politik Hamas di Gaza pada 2017, menggantikan Haniyeh yang berkhidmat dalam jawatan itu pada masa itu.

Pada 2021, beliau dipilih semula untuk penggal empat tahun lagi sebagai ketua Hamas di Gaza.

Sinwar dilaporkan berada di dalam Gaza di mana beliau telah menjadi sasaran berterusan tentera Israel.

Seorang pegawai Israel pada Mei dilaporkan berkata bahawa Sinwar telah menjadi sasaran nombor satu Israel, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah meninggalkan usaha untuk menyelamatkan tebusan Israel di Gaza dan sebaliknya menjadikan mengejar Sinwar sebagai keutamaannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker