Berita UtamaDuniaUtama

Muhammad Yunus pimpin kerajaan sementara Bangladesh

Perintis kewangan mikro dipilih ketuai kerajaan sementara selepas penyingkiran PM Sheikh Hasina

DHAKA, 2 Safar 1446H, Rabu – Pemenang Hadiah Nobel Bangladesh, Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan sementara negara itu selepas bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina berundur dan melarikan diri dari negara di tengah-tengah pemberontakan besar-besaran menentang pemerintahannya.

Pengumuman awal Rabu itu dibuat oleh daripada Setiausaha Akhbar Presiden Mohammed Shahabuddin, Joynal Abedin.

Abedin juga berkata, anggota lain kerajaan pimpinan Yunus akan diputuskan sejurus selepas perbincangan dengan parti politik dan pihak berkepentingan lain.

Pemimpin protes pelajar, ketua tiga bahagian tentera negara, dan ahli masyarakat sivil, serta beberapa pemimpin perniagaan, mengadakan pertemuan dengan presiden selama lebih lima jam lewat pada hari Selasa untuk memutuskan ketua pentadbiran sementara.

Para pelajar sebelum ini telah mencadangkan Yunus dan berkata, perintis kewangan mikro berusia 83 tahun itu bersetuju. Beliau dijangka pulang ke negara itu dari Paris tidak lama lagi, lapor media tempatan.

Susulan keputusan itu, pemimpin pelajar meninggalkan rumah rasmi presiden sejurus selepas tengah malam, berpuas hati dan mengalu-alukan keputusan itu.

Nahid Islam, seorang ketua kumpulan pelajar, menyifatkan perbincangan itu sebagai ‘membuahkan hasil’ dan berkata Shahabuddin telah bersetuju bahawa kerajaan sementara akan dibentuk secepat mungkin.

Yunus adalah pengkritik dan penentang politik Hasina yang terkenal. Beliau menggelar hari peletakan jawatan Hasina sebagai “hari pembebasan kedua” negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker