Berita UtamaUtama

Pengurusan hutan Kelantan paling teruk di Semenanjung

Kemusnahan hutan di Gua Musang semakin membahayakan, babit nyawa penduduk

KOTA BHARU, 2 Safar 1446H, Rabu – Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) menyifatkan pengurusan hutan Kelantan adalah paling teruk antara semua negeri di Semenanjung.

Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin yang sudah lebih 10 tahun bekerja di Gua Musang berkata, situasi pembukaan hutan di daerah itu adalah teruk.

Beliau menyelar tindakan kerajaan negeri yang meluluskan 54 projek penerokaan hutan membabitkan lebih 13,000 hektar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sejak dua tahun lalu.

“Jika dahulu di Gua Musang pembalakan dilakukan secara terpilih namun sekarang pembalakan dibuat secara tebang habis sama ada pembukaan ladang baharu, lombong atau kuari.

“Kemusnahan hutan di Gua Musang termasuk Nenggiri amat dahsyat. Jika dilihat di Kuala Betis, beratus lori keluar masuk setiap hari,” katanya seperti dilapor BH Online.

Mengulas lanjut, Hafizudin berkata, masalah kemusnahan hutan di Gua Musang semakin membahayakan dan sudah membabitkan nyawa penduduk.

“Berapa ramai penduduk mati disebabkan dibaham harimau… pada masa sama penduduk berdepan ancaman gajah disebabkan habitat mereka semakin sempit.

“Justeru, untuk ribuan kalinya kami memohon kerajaan negeri tidak meluluskan pembalakan secara tebang habis dalam kawasan hutan simpan sebaliknya hanya melakukan pembalakan terpilih.

“Banyak kesan berlaku sekiranya dilakukan tebang habis termasuk sungai tercemar, tanah runtuh dan berlaku banjir lumpur,” katanya.

Hafizudin berkata, KUASA sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang dianggap tidak pernah mendengar desakan NGO.

“Sudah tentu kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan hutan berkenaan yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang,” katanya.

Semalam, media melaporkan terdapat 54 kelulusan penerokaan hutan yang membabitkan keluasan lebih 13,000 hektar dikatakan diluluskan kerajaan negeri sejak 2022 di kawasan DUN Nenggiri.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim yang membuay pendedahan itu turut menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan rekod kemasukan permohonan kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), pihaknya mengesan 54 kelulusan baharu penerokaan hutan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong di kawasan Gua Musang yang kebanyakan dilakukan di kawasan Ulu Nenggiri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker