Apa Kata PakarBerita Utama

Apa perancangan pasca Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia?

Adakah PPPM 2013-2025 telah mengubah landskap pendidikan negara?

BANGI, 3 Safar 1446H, Khamis – Meskipun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dikatakan begitu baik dan lengkap selepas dilaksanakan sejak 10 tahun lalu, namun kini terbukti ia adalah pelan tindakan tidak realistik dan lebih indah di atas kertas berbanding realiti sebenar.

Tidak dinafikan, ketika di awal pelancaran PPPM dahulu, setiap sasaran nampak cantik dan kemas.

Malangnya disebabkan pasukan perunding yang menyediakan pelan ini gagal memahami realiti sebenar sistem pendidikan negara, maka banyak sasaran yang tidak tercapai seperti yang diharapkan, kata Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad. 

Beliau memberi contoh PPPM 2013-2025 yang menyasarkan pada 2016 isu sekolah daif selesai sepenuhnya, namun semua tahu ia tidak tercapai.

Begitu juga PPPM 2013-2025 menyasarkan pada 2025, Malaysia akan berada antara sepertiga terbaik dalam Programme International Student Assessment (PISA).

“Maksudnya kita perlu berada di tangga 25 atau lebih baik. Tetapi PISA 2022 yang lalu, kita masih berada di tangga 48, malah menjadi negara paling besar merosot berbanding 2018 dalam tiga kemahiran yang diuji di kalangan negara ASEAN.

“Jika PISA 2022, Malaysia di tangga 48, apakah pada 2025 nanti Malaysia akan melompat naik 23 anak tangga ke angka 25 negara terbaik?

“Sedangkan sejak Malaysia sertai PISA lebih 15 tahun lalu, kita belum pun naik lebih dari 10 anak tangga!,” katanya kepada Ismaweb.net.

Mengakui sejak sepuluh tahun PPPM dilaksanakan, tentunya ada beberapa pencapaian asas seperti akses pendidikan yang lebih baik, enrolment yang lebih tinggi telah berjaya dilakukan.

“Tetapi secara keseluruhan adakah PPPM 2013-2025 telah mengubah landskap pendidikan negara? Jawapannya tentulah tidak. Masih banyak yang gagal dicapai.

“PPPM akan tamat dalam tempoh setahun lagi. Jika dahulu, lebih dua tahun digunakan untuk membangunkan PPPM, bagaimana dengan perancangan pendidikan pasca PPPM?,” soalnya.

Dr Anuar berkata, hanya tinggal setahun lagi untuk melihat satu perancangan yang kukuh mesti dibangunkan.

Katanya, kita tidak boleh sekadar jerayawara di sana sini dan sesi libat urus yang tidak berkesudahan.

“Itupun lebih untuk mempromosikan kurikulum baru 2027, bukanlah tentang pelan pendidikan negara pasca 2025 yang jauh lebih mendesak.

“Jika PPPM yang telah dirancangkan lebih dua tahun pun banyak kekurangan, bagaimana pula dengan perancangan yang jauh lebih singkat dari itu?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker