Israel tangkap 10,000 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak Oktober
Angka tidak termasuk tahanan dari Semenanjung Gaza, jumlah dianggarkan beribu-ribu
GAZA, 3 Safar 1446H, Khamis – Jumlah tahanan yang ditangkap rejim penggana Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis, telah meningkat kepada 10,000 sejak 7 Oktober, termasuk mereka yang dibebaskan selepas ditangkap.
Ini termasuk 26 rakyat Palestin ditahan tentera pendudukan Israel pada Selasa dan Rabu, menurut kenyataan bersama Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Kelab Tahanan Palestin.
Kumpulan hak asasi manusia berkata: “Pasukan pendudukan menangkap sekurang-kurangnya 26 rakyat dari Tebing Barat, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan sejak 7 Oktober kepada kira-kira 10,000.”
Mereka menyatakan bahawa angka ini tidak termasuk tahanan dari Semenanjung Gaza, yang jumlahnya dianggarkan beribu-ribu.
Selari dengan perang kemusnahan besar-besaran ke atas Gaza, yang berlangsung sejak 7 Oktober, tentera pendudukan telah memperluaskan operasinya di Tebing Barat.
Ia termasuk Baitulmaqdis Timur, membunuh sekurang-kurangnya 620 rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 5,400 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. – Agensi