Kelulusan penerokaan hutan diberi ikut prosedur: Timbalan MB Kelantan
Syarikat dilantik untuk tujuan penebangan hutan dipilih selepas saringan rapi
KOTA BHARU, 3 Safar 1446H, Khamis – Kelulusan penerokaan hutan di negeri ini dilakukan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, syarikat yang dilantik untuk tujuan itu juga dipilih selepas saringan rapi untuk memastikan penebangan hutan dijalankan secara sah.
Fadzli juga menjelaskan bahawa hanya 48 kelulusan penerokaan hutan diberikan, bukan 54, dan ia tersebar di beberapa kawasan, dan bukan hanya di Nenggiri seperti yang didakwa ketua pembangkang negeri, Mohd Syahbuddin Hashim.
“Maklumat yang diperoleh daripada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) adalah tidak betul, hanya terdapat 48 kelulusan penerokaan hutan, bukan 54, dan ia melibatkan beberapa DUN,” katanya.
Jelasnya, semua kelulusan ini bukan baharu, dan kerajaan negeri perlu melalui proses EIA jika mahu melaksanakan projek pembangunan perladangan.
Ini menunjukkan bukan mudah bagi sesebuah syarikat menjalankan projek pembangunan kerana mereka mesti mengikut prosedur yang betul, katanya.
Pada Selasa, Syahbuddin mendakwa kerajaan negeri telah memberikan 54 kelulusan penerokaan hutan, meliputi kawasan seluas lebih 13,000 hektar, sejak 2022 di Nenggiri.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, berdasarkan permohonan kelulusan EIA, kelulusan penerokaan hutan baharu itu telah diberikan untuk pelbagai tujuan termasuk membuka ladang, pengayaan hutan dan perlombongan.