Khalil Al-Hayya sedia main peranan penting di bawah pemimpin baharu Sinwar, kata sumber
Dijangka terus ketuai rundingan tidak langsung gencatan senjata
GAZA, 3 Safar 1446H, Khamis – Ahli politik Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Khalil Al-Hayya bersedia untuk terus mengetuai rundingan tidak langsung dengan Israel untuk gencatan senjata Gaza dengan bimbingan daripada pemimpin baharu gerakan itu, Yahya Sinwar, menurut tiga sumber Palestin, lapor Reuters.
Hamas mengumumkan pada hari Selasa bahawa telah memilih Yahya Sinwar – sebagai ketua keseluruhan Hamas, menggantikan as-Syahid al-Qaid Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Iran akhir bulan lepas.
Bekerja di bawah pengawasan Haniyeh, Hayya telah mengetuai delegasi kumpulan itu dalam rundingan pengantara dengan Israel yang bertujuan mencapai gencatan senjata dan perjanjian untuk menukar rakyat Israel yang ditawan oleh Hamas pada 7 Oktober dengan tebusan Palestin di penjara Israel.
“Dr Khalil Al-Hayya adalah ketua pasukan rundingan dan tidak ada perubahan kepada ini,” kata pegawai Hamas itu.
Satu lagi sumber yang biasa dengan perbincangan Hamas berkata, Hayya telah mendapat kepercayaan Haniyeh dan Sinwar dan berkata, beliau dijangka akan terus mengetuai rundingan tidak langsung dan menjadi wajah diplomatik pergerakan itu.
“Kedua-dua Hayya dan Zaher Jabarin, yang mengetuai Hamas di Tebing Barat dari luar Wilayah Palestin, akan memainkan peranan yang lebih besar pada masa depan, juga kerana kedua-duanya mempunyai hubungan baik dengan Iran dan Hizbullah”, kata sumber itu.
Sumber enggan dikenal pasti kerana sensitiviti politik.
Hayya ialah Timbalan Ketua Hamas untuk Gaza walaupun beliau telah melaksanakan peranan itu dari luar wilayah Palestin selama beberapa tahun dan menetap di Qatar.
Sinwar juga tidak muncul di khalayak ramai sejak serangan 7 Oktober, tetapi telah memainkan peranan penting dalam mengarahkan operasi ketenteraan dan rundingan pertukaran tahanan-tebusan. – Agensi