Berita UtamaUtama

PRK Nenggiri: Polis siasat kenyataan sensitif ahli politik

Tular kenyataan ahli politik di YouTube isu permohonan pemilikan tanah

KOTA BHARU, 3 Safar 1446H, Khamis – Polis membuka kertas siasatan berhubung video seorang ahli politik yang didakwa membuat kenyataan sensitif semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.

“Polis sedang menyiasat kes itu, dan saya meminta semua pihak terlibat berkempen secara aman dan tidak mencetuskan provokasi.

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan kerana kenyataan itu telah tular di media sosial,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Sebelum ini, tular satu kenyataan seorang ahli politik di YouTube berhubung isu sebahagian besar permohonan pemilikan tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri tidak diselesaikan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan.

Muhamad Zaki berkata, setakat ini tempoh berkempen PRK DUN Nenggiri berlangsung dengan lancar dan baik.

“Saya juga mendapati tidak ada mana-mana parti politik yang mensabotaj bendera parti antara satu sama lain dan ini menunjukkan mereka bertanding dengan matang pada PRK ini.

“Saya berharap agar tempoh perjalanan PRK DUN Nenggiri ini berjalan dengan lancar sehingga ke hari mengundi pada 17 Ogos ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker