AS, Mesir dan Qatar gesa Israel-Hamas bertemu 15 Ogos ini
Pengantara mahu perjanjian bebaskan tebusan, mulakan gencatan senjata
NEW YORK, 4 Safar 1446H, Jumaat – Pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar menggesa Israel dan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bertemu pada 15 Ogos ini bagi memuktamadkan rundingan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tawanan.
Sebagai pengantara, ketiga-tiga negara mencadangkan Doha atau Kaherah sebagai tempat pertemuan bagi mengelakkan keadaan bertambah tegang selepas pembunuhan as-Syahid Ismail Haniyeh.
“Sudah tiba masanya untuk membebaskan tebusan, memulakan gencatan senjata, dan melaksanakan perjanjian ini,” katanya.
Pengantara mengesahkan, mereka bersedia untuk membentangkan cadangan penyambungan muktamad bagi menyelesaikan isu yang masih berbangkit.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu didakwa akan menghantar perunding ke pertemuan itu meskipun hakikatnya rejim Zionis punca kepada peperangan.
Hamas setakat ini belum memberikan komen dan respons kepada pengantara.
Sehingga hari ini, Israel telah membunuh hampir 40,000 penduduk Palestin dalam masa 10 bulan sejak Oktober tahun lalu.
Israel juga telah mengenakan sekatan melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza, menyebabkan seluruh penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Sebanyak 459,000 orang di Gaza (22 peratus) berada dalam keadaan ‘ketidakmampuan makanan yang teruk’, manakala hampir keseluruhan penduduk (96 peratus) menghadapi ‘tahap krisis ketidakmampuan makanan akut atau lebih tinggi’, menurut kertas kerja yang diterbitkan oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC). – Agensi