Berita UtamaUncategorized

Lapor SPRM jika ‘betul’ dakwaan jual kilang FELCRA

'Beri tempoh 7 hari buat laporan, jika benar salah saya letak jawatan'

BANGI, 4 Safar 1446H, Jumaat – “Jangan kata saya menjual kilang, satu skru kilang pun saya tidak pernah menjual sepanjang memegang jawatan ini.

“Susulan fitnah terbabit, saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Gua Musang dan meminta pihak peguam menghantar notis saman terhadap individu terbabit.”

Demikian tegas Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menafikan tuduhan berkaitan penjualan kilang Felcra.

Terdahulu, Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard dilaporkan menuntut Ahmad Jazlan memberi penjelasan berhubung penjualan kilang-kilang Felcra yang banyak menimbulkan keraguan.

Dakwanya, ia rentetan beberapa sumber sejak hampir sebulan lalu tampil berjumpa dengannya dan menyerahkan beberapa set dokumen berkenaan penjualan kilang FELCRA.

Memetik Berita Harian, Jazlan menegaskan, beliau tidak pernah menjual kilang agensi berkenaan kepada mana-mana pihak termasuk bukan Bumiputera seperti didakwa.

Katanya, dakwaan pihak yang digelar sebagai ‘askar upahan’ pihak pembangkang itu adalah fitnah yang amat besar terhadap dirinya.

“Saya juga minta SPRM buka siasatan sekiranya menerima laporan daripada mereka. Saya tidak takut kerana saya di pihak yang benar.

“Saya beri tempoh tujuh hari untuk mereka membuat laporan SPRM. Jika benar saya bersalah, saya sendiri akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FELCRA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker