Remaja 14 tahun menyamar ‘doktor’ direman 2 hari
Suspek didakwa kerana menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam
SERDANG, 4 Safar 1446H, Jumaat – Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang direman selama dua hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.
Pada jam 1 petang Rabu, polis menerima laporan menyatakan remaja terbabit mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.
Remaja itu kemudian ditahan di lobi hospital dan polis merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan ‘lanyard’ hak milik hospital.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pihaknya mengambil maklum kes berkenaan dan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.
“Pada 7 Ogos 2024, pihak pengurusan HSIS Serdang menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan bertugas di HSIS.
“Tindakan pantas pihak HSIS berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis sudah dibuat,” katanya.