UniSZA nafi dakwaan jual sijil akademik
Akan ambil tindakan undang-undang jaga kepentingan, nama baik universiti
KUALA TERENGGANU, 4 Safar 1446H, Jumaat – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu di media sosial.
UniSZA berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kepentingan serta nama baik universiti.
Selain itu, laporan polis juga dibuat supaya penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat salah oleh masyarakat awam dapat dikekang.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa memastikan kesahihan maklumat di media sosial sebelum membuat sebarang komen dan ulasan lanjut yang boleh menularkan lagi maklumat salah ini.
“UniSZA terus komited dalam menjaga nama baik Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan memastikannya tidak tercemar serta sentiasa mematuhi undang-undang telah ditetapkan kerajaan Malaysia,” katanya seperti dipetik Bernama.
UniSZA juga menegeaskan, universiti sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“UniSZA juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Profesional yang bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial dakwaan seorang individu dipercayai penuntut di UniSZA yang mendakwa dia tidak lagi mahu menyambung pengajiannya.
Ia berikutan dia beranggapan program ijazah sarjana muda yang diambilnya tiada kaitan dengan matlamat hidupnya.
Menerusi video berdurasi 1 minit 19 saat itu juga, lelaki terbabit turut mendakwa program ijazah sarjana muda adalah dibeli oleh penuntut apabila perlu membayar yuran pengajian dan UniSZA katanya terhutang budi dengannya atas urusan yang disifatkannya sebagai jual beli itu.