Apa Kata PakarBerita Utama

Jurang pencapaian antara murid sekolah kebangsaan-swasta membimbangkan

Apakah ada usaha perubahan dasar tingkatkan kualiti pendidikan sekolah aliran kebangsaan?

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 16 Safar 1446H, Rabu – Salah satu data Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang cukup membimbangkan ialah jurang pencapaian antara sekolah kebangsaan dan sekolah swasta semakin ketara.

Bagi pencapaian PISA (Membaca dan Sains), jurang antara murid sekolah kebangsaan dan sekolah swasta semakin melebar berbanding tahun 2012 (bermula pelaksanaan KSSR).

Manakala bagi domain Matematik, pencapaian PISA 2022 tidak banyak berubah berbanding 2012.

Selain itu, kemerosotan prestasi PISA bagi murid sekolah aliran kebangsaan yang jauh lebih besar berbanding sekolah swasta untuk ketiga -tiga domain yang diuji (membaca, Matematik dan Sains) juga amat membimbangkan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, data PISA 2022 itu pastinya tepat selepas dianalisis oleh pasukan Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia.

Katanya, kemerosotan ini tentunya menimbulkan kebimbangan ibu bapa bukan sahaja kepada 3 domain ini, tetapi juga tahap penguasaan subjek bahasa Inggeris dan beberapa subjek utama lain para pelajar di sekolah kebangsaan.

“Maka, soalan yang perlu dijawab sekarang; apakah telah ada usaha untuk melakukan perubahan dasar bagi meningkatkan kualiti pendidikan sekolah aliran kebangsaan?

“Setakat ini saya belum nampak lagi, kecuali beberapa ‘intervensi tempelan’,” luahnya kesal.

PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dalam tiga domain Literasi tersebut serta program pentaksiran dan kajian perbandingan anjuran OECD.

Penilaian ini sekadar melaporkan statistik pencapaian dan tidak menyusun kedudukan antara negara-negara seluruh dunia yang menyertainya, di mana 81 negara mengambil bahagian dalam PISA 2022.

Kajian PISA dilakukan setiap tiga tahun (2021 ditangguh ke 2022 kerana pandemik), dan ini merupakan kali kelima Malaysia mengambil bahagian dalam PISA selepas 2009, 2012, 2015 dan 2018.

Untuk PISA 2022, 7,069 murid dari 199 buah sekolah dan institusi pendidikan di segenap pelusuk negara termasuk di kawasan luar bandar dan jenis sekolah swasta dinilai sebagai sampel mewakili 390,400 murid berusia 15 tahun di Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker