UMNO tidak akan kuat selagi bersama DAP
Buatlah macam mana pun. Selagi UMNO bersama parti ultra kiasu dan tak mesra Islam, selagi itulah hubungannya ibarat retak menunggu belah
Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri telah berlaku, kini menunggu pula PRK DUN Mahkota, 28 September ini, akibat kematian wakil rakyatnya. Keputusan Nenggiri, iaitu UMNO dapat merampas balik bukanlah suatu menghairankan, kerana DUN Nenggiri adalah kubu kuat UMNO sebelum ini. Lagipun UMNO telah mengambil langkah berjaga-jaga, sekutunya, DAP ‘diharamkan’ turun untuk berkempen. UMNO tahu, rakyat Kelantan, juga di luar Kelantan, tidak dapat menerima DAP, bayangnya sekali.
Dalam kata lain, jika DAP bersama turun berkempen, ia boleh menjejaskan kemenangan UMNO, meskipun yang turun itu adalah pemimpin DAP berbangsa Melayu. Lambang roket sebenarnya fobia bagi orang Melayu, kecuali Melayu liberal.
Strategi ini nampaknya berjaya. Menjauhkan DAP dari Kelantan, mendekatkan pengundi kepada UMNO. Pun begitu, keputusan PRK Nenggiri, bukanlah medan untuk mendabik dada bahawa sokongan rakyat telah kembali kepada UMNO. Majoriti ahli UMNO tidak dapat menerima kerjasama UMNO-DAP di luar sana. Segelintir pemimpin UMNO sahaja yang perasan.
‘Keyakinan’ UMNO akan imej barunya bersama DAP akan diuji selagi lagi di PRK Mahkota. Walaupun sukar untuk parti lain, yang menentang UMNO untuk menang, sekurang-kurangnya , saingannya tetap ada, terutama, daripada saingannya yang akan bertanding, PPBM (PN).
Sudah tentu dalam PRK Mahkota, UMNO sangat memerlukan kempen ultra kiasu DAP bagi memastikan UMNO dapat menambah undi sebanyak mungkin, menumbangkan PPBM (PN) sebanyak mungkin, kalau boleh sehingga hilang wang deposit. Jika ini berjaya, UMNO akan mendabik dada sekali lagi, bahawa pengundi atau orang UMNO telah kembali kepada UMNO dan menerima Pakatan dengan DAP.
Perlu diingatkan bahawa DUN Nenggiri berada di Kelantan, kawasan kuat PAS, manakala Mahkota, berada dalam negeri Johor, sememang diketahui kuat UMNO. Dua negeri, budaya dan sosialisasi politik sedikit berbeza. Dalam PRK Mahkota, DAP, termasuk MCA dan MIC, akan turun untuk memancing undi orang bukan Melayu, terutama undi Cina (DAP).
Ada beberapa penganalisis politik, belum apa-apa sudah mengeluarkan kenyataan, UMNO akan menang di Mahkota. Benar, kenyataan ini memang sukar untuk dinafikan. Cuma penganalisis ini tidak menekankan apakah UMNO akan menang ‘selesa’ seperti di Nenggiri, meskipun bilangan undi di Mahkota lebih besar? Dalam politik, macam-macam boleh terjadi. Jangan terlalu yakin. Kini, UMNO dan PPBM (PN) sudah berkampung di Mahkota. Lebih-lebih lagi UMNO, kerana mempertahankannya dengan majoriti lebih besar adalah maruah.
Tetapi, percayalah, walaupun UMNO dijangkakan akan menang ‘selesa’, selagi UMNO bersama DAP, UMNO tetap akan berhadapan dengan masalah, meskipun telah menang di Nenggiri dan akan menang di Mahkota. Perkahwinan UMNO-DAP sampai bila-bila pun tidak akan kekal lama kerana perjuangan sama sekali bertentangan dengan perjuangan UMNO, yang mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Apakah UMNO sudah lupa dengan Deklarasi Setapak DAP 1967.
Pertama, UMNO sendiri tahu bahawa, ahlinya tidak dapat menerima DAP atau pernikahan UMNO DAP berlaku dalam PH. Selagi DAP tidak menggugurkan perjuangan sekular dan deklarasi Setapak, selagi itulah hubungan ini ibarat retak menunggu belah.
Perlu diingatkan bahawa, setahun selepas penubuhan DAP, DAP mengumumkan Deklarasi Setapak 1967 yang menggariskan prinsip perjuangannya yang mengimpikan Malaysia milik kita bersama yang berteraskan keadilan sosial dalam masyarakat majmuk, sama rata sama rasa.
Deklarasi Setapak dibuat sewaktu Perang Vietnam berada di kemuncaknya. Parti Komunis Malaya yang telah diusir ke dalam hutan sejak 1960 mendapat semangat baru dengan bantuan Parti Komunis China yang sedang kegilaan Revolusi Kebudayaan di bumi China. Meskipun penyokong-penyokong komunis pada masa itu mengkritik DAP kerana DAP menolak komunisme, dengan menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menetapkan sistem negara yang berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, namun imej DAP dalam kalangan orang Melayu tidak dapat dikendurkan.
Dasar-dasar asas DAP telah ditekan dalam Deklarasi Setapak 1967, antaranya:
“Jika kami hendak memperbetulkan prinsip pembangunan negara di sebuah masyarakat berbilang kaum, maka perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti. Usaha yang sedemikian mesti ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali, atas dasar keinginan dan boleh dilakukan.”
Berdasarkan Deklarasi Setapak 1967 yang masih dipegang oleh DAP, ramai ahli DAP secara konsisten mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan raja-raja Melayu, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. DAP secara halus sentiasa menggerakkan usaha dengan berselindung di sebalik tema untuk mewujudkan keadilan, persamaan dan kesamarataan hak.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah berikrar dalam Deklarasi Setapak 1967 untuk mendukung Deklarasi Setapak sebagai dasar panduan dan prinsip DAP telah menyebut:
“Racial hegemony in a multi-racial society is certainly an undesirable principle to be adopted anywhere in the world, but in Malaysia, the very composition of our population also makes it impracticable of realisation, for the good reason that in this country, no single racial group can claim to enjoy an overall majority. The Malays do not constitute a national majority. Neither do the Chinese, nor the Indians, nor anybody else. In other words, any single community in Malaysia, by itself, is outnumbered by the rest. And thereby hangs the obvious lesson that any attempt to violate the principle of racial equality in Malaysia society must lead to inevitable and catastrophic failure.”
Jelasnya di sini, perjuangan DAP bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak meletakkan konsep sama rata dan sama rasa. Kedudukan Melayu, Islam, bahasa Melayu dan hak Istimewa Melayu dan Bumiputera, tetap mencengkam Perlembagaan negara. Inilah amat ditentang oleh komunis. Perjuangan ini sama sekali bertentangan dengan UMNO.
Kedua, pada Oktober 1967 juga, DAP telah menjadi ahli kepada Socialist International, satu pertubuhan sosialis dan komunis antarabangsa. Salah seorang Naib Presiden Socialist International adalah Ehud Barak (Bekas Perdana Menteri Israel). Apakah kita sudah lupa “Middle Malaysia” yang diambil dari konsep “Middle Israel”.
Dalam “DAP Melaka State Annual Convention, pada Disember 2005, pemimpin DAP ada menyatakan akan adaptasi 3 People’s Principles (Nationalism, Democracy dan Equality yang diterapkan oleh Dr. Sun Yat Sen (Pengasas Parti Nasionalis Cina Koumintang). Pemimpin DAP ketika itu percaya dengan teori Sun Yat Sen bahawa “Oversea chinese as the mother of revolution. Sekali lagi bertentangan dengan perjuangan UMNO.
Ketiga, pada 22 November 2009, pemimpin DAP mempertikaikan keputusan kerajaan Malaysia mengapa tidak membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia. Jelas di sini bahawa DAP menyokong Chin Peng pulang ke Malaysia. Apakah erti semua ini? Orang UMNO tidak akan melupakan semua ini.
Pemimpin DAP juga pernah mengatakan bahawa Zainuddin Maidin buta sejarah kerana menggelar Memorial di Nilai, sebagai Memorial Komunis. DAP menggangap bahawa ahli-ahli MPAJA (komunis) yang gugur tersebut sebagai pejuang kebebasan yang berjuang melawan pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu. Jelas di sini jelas DAP begitu menggagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan, tidak terkecuali MCA dan Gerakan.
Keempat, sudahkah kita lupa pada 18 Oktober 1990, pemimpin DAP pernah mengeluarkan kenyataan “Kami memberi pengakuan, untuk mewujudkan negara Islam, langkah mayat kami dahulu.
Banyak lagi isu terbaharu yang jelas menunjukkan wajah sebenar DAP, meskipun DAP tahu mereka kini bersama UMNO. DAP tetap berani tanpa takut sedikit pun kepada UMNO.
Apabila tersalah cakap, DAP akan keluar kenyataan meminta maaf, seperti biasa, kerana kebergantungan antara satu sama lain, maka UMNO DAP saling memaafkan. Mulia sungguh sifat ini. Namun, apakah kemuliaan sifat ini akan bertahan lama? Sama-sama kita tunggu…
Contoh pada 2014, pemimpin DAP menyatakan pendirian bahawa hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam dan kenyataan itu tidak pernah ditarik balik hingga kini.
Pada April 2019, senator daripada DAP, menggesa pengguguran status kaum termasuk Islam pada MyKAD, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional.
Pemimpin DAP ketika kempen PRU15 pernah menyatakan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan PAS dalam mengawal aktiviti maksiat. Sebelum itu, DAP juga akan menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia.
Ini termasuk laporan polis oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pada 22 Februari 2022 berhubung keceluparan pemimpin DAP, terhadap Majlis Agama Islam Perlis. Laporan polis dibuat oleh Pemuda PAS pada 7 Julai 2021 terhadap kenyataan penghinaan oleh pemimpin DAP berkaitan isu Kerajaan Allah.
Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.
DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.
Selain itu, pemimpin menuduh khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP sebelum itu, pernah mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajiban wanita Muslim menutup aurat. Begitu juga pemimpin mereka pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, pemimpin DAP pernah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara disebut beliau, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara? Isu dan kontroversi azan masih dibangkitkan sehingga hari ini.
Apakah kita sudah lupa, dalam isu solat hajat, pemimpin DAP mempersoalkan dalam Facebook beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, yang mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.
Dalam isu aurat, pemimpin DAP menyindir purdah yang dipakai sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai “pemimpin Melayu otak cacat”.
Ini tidak termasuk lagi kuatnya suara DAP supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.
Sebenarnya banyak lagi isu yang boleh diulaskan bagi membuktikan apakah perkahwinan UMNO-DAP boleh bertahan dalam kerajaan perpaduan hari ini? Yang jelas, ‘mengharamkan’ DAP turun berkempen PRK Nenggiri dan seterusnya menghalalkan DAP turun berkempen DUN Mahkota tidak lama lagi, jelas membuktikan perkahwinan haram di satu tempat, halal di satu tempat yang lain, tidak akan bertahan lama. Kita sama-sama tunggu dan lihat sejauh mana perkahwinan ini akan bertahan lama.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.my.