Apa Kata PakarBerita Utama

Tolak bahasa Melayu di sekolah vernakular ibarat sabotaj pendidikan negara

Mereka sombong, tak mahu terima kenyataan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan

BANGI, 1 Rabiulawal 1446H, Khamis – Kementerian Pendidikan mesti tegas dengan pendiriannya untuk memastikan keseragaman dan keselarasan silibus bahasa Melayu di semua sekolah di Malaysia.

Justeru, sebarang penolakan dalam apa jua bentuk terhadap bahasa Melayu di sistem persekolahan adalah satu bentuk sabotaj dan pengkhianatan terhadap negara.

Jika penghinaan terhadap bahasa Melayu ini dibiarkan, ianya akan menjadi barah kepada perpaduan di negara ini, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat.

“Amat malang jika ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu dan terlalu susah dan meletakkan pelbagai syarat untuk mempelajarinya.

“Sikap sombong ini sejak dahulu lagi, mereka tidak mahu menerima kenyataan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang mesti dipelajari oleh semua warganegara Malaysia dalam semua bentuk sistem persekolahan.

“Ini tidak boleh diterima bagi sebuah negara yang berdaulat,” tegasnya.

Terdahulu, sebanyak sembilan institusi pendidikan Cina sebulat suara membantah inisiatif KPM dalam menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di seluruh sekolah vernakular.

Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan sebagai berkata, penolakan itu adalah kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan bahasa Melayu.

Lek Aee berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa kedua pelajar terbabit, maka Bahasa Melayu tidak boleh diajar menggunakan silibus sama seperti pelajar Melayu lain.

Institusi pendidikan Cina itu adalah Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Institusi lain Majlis Bahasa Cina Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Institut Pengajian Cina UTAR, Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia, Majlis Guru Besar SJKC Malaysia dan Persatuan Ibubapa Pendidikan Cina Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker