‘Saya akan buat penyamaran, lawatan mengejut di semua pejabat JPJ negeri’
Pegawai JPJ diminta bersikap matang, tahu kehendak orang awam
SHAH ALAM, 8 Rabiulawal 1446H, Khamis – Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana Pengarah dan Ketua Cawangan (KC) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri yang membiarkan kaunter hadapan tidak dibuka atau di bawah pengawasan sewajarnya.
Beliau berkata, perkara itu amat ditekankan memandangkan fokus utama JPJ adalah menambah baik sistem penyampaian jabatan tersebut kepada orang awam.
“Fokus kita adalah kaunter. Perkara itu pun ditegaskan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menjangka ada lima kaunter dibuka, tetapi hanya dua dibuka.
“Mana-mana Pengarah Negeri dan KC tidak menjalankan tugas dengan baik dan kaunter tidak dibuka, mereka akan diambil tindakan,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Aedy Fadly menegaskan beliau bersama pengarah di ibu pejabat akan melaksanakan lawatan mengejut dengan melakukan penyamaran bagi melihat sendiri keadaan sebenar di semua JPJ negeri.
“Tentang operasi, saya tidak risau sebab ada pasukan yang bagus di ibu pejabat dan harap negeri pun sama.
“Selepas ini, mungkin saya akan turun pakai topi, berkaca mata dan seluar jeans, lawat (JPJ setiap negeri). Saya mungkin hantar pengarah-pengarah di ibu pejabat sebab kalau saya turun (kerap) mungkin orang kenal,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau mahu anggota dan pegawai JPJ bersikap matang dan mengetahui apa yang dikehendaki orang awam apabila berurusan dengan JPJ.
Aedy Fadly turut memaklumkan bahawa setakat ini beliau berpuas hati dengan beberapa tindakan serta inisiatif diperkenalkan dan dilaksanakan segera oleh semua JPJ negeri.
“Tetapi ia masih jauh dan JPJ perlu membuat penambahbaikan seperti apa yang diamanatkan KSN. Itu perlu diambil tindakan cepat dan pantas dalam laksanakan reformasi perkhidmatan awam khususnya di JPJ,” katanya.