PAS bakal pinda perlembagaan parti termasuk penyertaan bukan Islam
Pindaan bolehkan orang bukan Islam jadi ahli bersekutu PAS
JERANTUT, 9 Rabiulawal 1446H, Jumaat – Beberapa fasal perlembagaan parti termasuk berkaitan penyertaan ahli bukan Islam dalam PAS bakal melalui proses pindaan.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, dengan pindaan itu, orang bukan Islam boleh menjadi ahli bersekutu PAS, yang mana sebelum ini parti itu mempunyai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
“Beberapa pindaan perlembagaan parti akan dibuat melibatkan Dewan Asyura, Dewan Harian bagi tujuan itu.
“Sedangkan, perlembagaan asal PAS hanya orang Islam sahaja boleh menjadi ahli, dan yang bukan Islam berada dalam DHHP,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-63 di Dewan D’ Persada Baraqah di sini pada Jumaat.
Hashim memberitahu, usul pindaan perlembagaan itu akan dibentang dan dibahas, seterusnya keputusan akan dibuat dalam sidang muktamar.
Selain itu, Hashim turut menegaskan harapan mereka agar asas kekuatan parti dipertahan sepanjang perbahasan nanti, demi memastikan hala tuju parti kekal utuh.