Berita UtamaUtama

Pejuang akan sokong calon PN pada PRK Mahkota

Jentera digerakkan membantu calon PN berkempen

KLUANG, 9 Rabiulawal 1446H, Jumaat – Sementara menunggu untuk diterima masuk secara rasmi dalam Perikatan Nasional (PN), Pejuang akan menyokong calon gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan datang.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu telah menerima permintaan sokongan daripada pelbagai pihak.

“(Mereka) meminta bantuan Pejuang dalam pilihan raya kecil itu. Di Johor, Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan, disokong oleh Pakatan Harapan (PH).

“Pendirian kami sangat jelas: di mana UMNO berada, kami tidak akan membantu mereka.

“Jadi jelas sekali Pejuang akan memberikan sokongan kepada PN pada pilihan raya kecil ini,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata, Pejuang akan menggerakkan jenteranya untuk membantu calon PN berkempen seperti yang dilakukan pada enam pilihan raya negeri tahun lalu.

Ditanya sama ada Pejuang akan menyertai PN tidak lama lagi, Mukhriz berkata, ia membuat permintaan rasmi sebelum ini tetapi beliau mendengar ia ditolak, walaupun tidak secara rasmi.

“Bagaimanapun, beberapa bulan lalu, saya bertemu dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberitahu saya bahawa beliau akan mengemukakan permohonan kami pada mesyuaratnya tidak lama lagi.

“Mungkin (teragak-agak) untuk mempunyai satu lagi parti berasaskan Melayu menyertai kerana Bersatu dan PAS sudah ada. Tetapi kita melihat gabungan itu sebagai wadah perjuangan Melayu.

“Ramai ahli Pejuang adalah pemimpin NGO hak Melayu,” katanya.

UMNO dan Bersatu telah mengumumkan bahawa mereka akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu manakala PH telah mengisytiharkan sokongannya kepada calon BN.

BN telah memilih Syed Hussein Syed Abdullah, 40, sebagai calonnya bagi kerusi DUN manakala pilihan PN ialah bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Kerusi itu kosong apabila ADUNnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain daripada UMNO, meninggal dunia pada 2 Ogos, tiga hari selepas beliau dimasukkan ke hospital.

Pengundian bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 28 September manakala hari penamaan calon pada hari Sabtu (14 September).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker