SPRM cadang larang pegawai Imigresen bertugas di KLIA guna telefon bimbit
11 masalah, kelemahan utama babit Jabatan Imigresen dikenalpasti
PUTRAJAYA, 14 Rabiulawal 1446H, Rabu – Pegawai imigresen, termasuk penyelia, yang ditempatkan di kaunter Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan 2 sepatutnya tidak mempunyai akses kepada telefon bimbit mereka semasa bertugas, kata Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suruhanjaya itu telah mencadangkannya kepada jabatan Imigresen berikutan tindakan keras terhadap aktiviti penetapan kaunter, yang menyaksikan 49 pegawai Imigresen ditahan.
“Dengan menyekat akses kepada telefon bimbit mereka, ia boleh menghalang mereka daripada dihubungi pihak luar.
“Perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang bertugas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM pada Rabu (18 September).
Pada masa ini, jadual kerja pegawai yang mengawal kaunter ditetapkan apabila mereka sudah berada di zon kaunter, katanya.
“Mungkin pihak lain boleh menentukan jadual kerja terlebih dahulu,” katanya.
Azam berkata, suruhanjaya itu mengenal pasti 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan jabatan Imigresen yang menyebabkan sindiket boleh membawa masuk warga asing melalui modus operandi ‘counter setting’ atau ‘laluan kaunter khas’.
“Salah satu masalah utama ialah kekurangan kawalan dalaman ketika (pegawai) bertugas, membolehkan ejen sindiket mudah mendekati mereka.
“Masalah lain ialah giliran kerja yang tidak sistematik untuk tempat bertugas pegawai Imigresen di Terminal 1 dan 2 KLIA. Itu juga memberi ejen akses mudah kepada pegawai yang mengawal kaunter.
“Ini kerana ejen akan mengetahui siapa yang ditempatkan di kaunter mana terlebih dahulu,” katanya.
Azam berkata, kelemahan lain yang dikenal pasti ialah kekurangan penyeliaan yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam prosedur operasi.
“Sistem penyemakan kemasukan warga asing juga mudah dimanipulasi dan sukar untuk disemak.
“Terdapat kelemahan lain yang ditemui termasuk pegawai yang ditempatkan terlalu lama di lokasi sama serta pegawai Imigresen yang memberi dan menerima rasuah antara satu sama lain,” katanya.
Azam berkata, SPRM juga mendapati tiada pemantauan dan lapisan tambahan menapis dokumen warga asing dan penginapan mereka semasa berada di Malaysia.
“Jumlah besar yang ditawarkan sebagai rasuah adalah masalah besar juga,” katanya.
Awal bulan ini, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara menggunakan operasi ‘laluan kaunter khas’ (counter setting).