PAS yakin lebih ramai orang bukan Islam bakal sertai parti
Takiyuddin harap lebih ramai akan sertai PAS sebagai ahli bersekutu
KOTA BHARU, 15 Rabiulawal 1446H, Khamis – PAS mendakwa ramai bukan Islam akan menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu sebaik sahaja perlembagaan keanggotaannya diwartakan.
Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara bukan Islam yang akan menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu termasuk seorang bekas Exco kerajaan negeri Negeri Sembilan dan mereka dari MIC.
“Buat masa ini, kami hanya mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), yang merupakan sayap PAS yang dianggotai ahli bukan Islam, tetapi selepas kami meminda perlembagaan parti baru-baru ini, kami berharap lebih ramai akan menyertai kami sebagai ahli bersekutu.
“PAS kini boleh mengalu-alukan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutunya dan ini menjadikan PAS sebagai parti untuk semua agama dan kaum,” katanya seperti dilapor New Straits Times.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, perlembagaan parti yang dipinda itu boleh diwartakan dalam tempoh 60 hari selepas pindaannya pada 14 September.
Perwakilan PAS telah bersetuju untuk meminda perlembagaannya untuk membuka keahliannya kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu.
Usul yang dibentangkan Takiyuddin pada muktamar tahunan PAS ke-70 di kompleks Al-Makmur di Kerdau, Pahang itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 1,324 perwakilan.
Bagaimanapun, beliau berkata, keahlian parti itu tidak terbuka kepada ateis.
“Bagi mereka yang ingin menjadi ahli bersekutu PAS, mereka mesti menganut agama Hindu, Kristian, Buddha atau mana-mana agama lain di dunia ini. Syarat untuk menjadi ahli PAS tetap tidak berubah.
“Ya, amalkan mana-mana agama lain selain Islam, tetapi mereka yang tidak beragama dan tidak percaya kepada Tuhan seperti ateis tidak boleh mendapat keahlian.
“Pindaan itu melibatkan Fasal 10 yang sebelum ini hanya melibatkan satu jenis keahlian sahaja,” katanya ketika membentangkan cadangan itu.
Takiyuddin berkata, pindaan perlembagaan itu akan memperkukuh DHPP dengan memberi lebih hak dan tanggungjawab kepada ahlinya, termasuk hak mengundi dalam mesyuarat seperti termaktub di bawah Fasal 60 dalam perlembagaan PAS.
Katanya, pindaan itu akan memberi ruang lebih besar kepada DHPP untuk menyumbang ke arah hala tuju parti.