AS, negara Arab desak gencatan senjata 21 hari antara Israel-Hizbullah
Gesa penyelesaian diplomatik demi keselamatan orang awam
NEW YORK, 22 Rabiulawal 1446H, Khamis – Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara termasuk Arab mendesak gencatan senjata sementara selama 21 hari antara Israel dan Hizbullah.
Ia susulan serangan bertalu-talu Israel terhadap Hizbullah yang dikhuatiri bakal mengheret rantau Asia Barat ke dalam peperangan dahsyat seperti di Palestin.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh AS, Australia, Kanada, EU, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.
Mereka berkata, sudah tiba masanya penyelesaian diplomatik dimeterai bagi membolehkan orang awam di kedua-dua belah sempadan pulang semula ke rumah masing-masing dengan selamat.
“Kami sepakat menggesa gencatan senjata selama 21 hari dilaksanakan segera bagi menyediakan ruang diplomasi ke arah penyelesaian diplomatik,” katanya.
Setakat ini, ratusan mangsa terbunuh manakala ribuan lagi hilang tempat tinggal sejak Israel melancarkan serangan ke Lubnan.
Terbaharu, sekurang-kurang 72 lagi kematian direkodkan akibat serangan rejim haram yang menyasarkan gerakan Hizbullah. – Agensi