Kuasai bandar supaya Melayu kembali berkuasa di Pulau Pinang
Pertahankan warisan dan identiti negeri berteraskan Melayu dan Islam
KEPALA BATAS, 1 Rabiulakhir 1446H, Khamis – Memelihara dan menjaga tanah adalah tanggungjawab penting orang Melayu kerana ia adalah simbol kuasa.
Tanah merupakan sebahagian daripada identiti dan warisan bermakna memelihara tanah sama seperti menjaga tradisi dan nilai-nilai yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Demikian kata Yang Dipertua ISMA cawangan Seberang Perai Utara (SPU), Ts Dr Rozaini Othman ketika berucap dalam majlis minum petang (Hi Tea) di Penang Golf Resort, Kepala Batas, baru-baru ini.
Majlis anjuran ISMA SPU itu bertujuan membincangkan kedudukan Orang Melayu berkaitan pemilikan tanah dan kuasa khususnya di Pulau Pinang.
Ia turut mengambil kira polisi dan sejarah berkaitan pembandaran seperti yang dibentangkan oleh Ketua Penyelidik Kanan IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin.
Dr Rozaini Othman berkata, antara objektif pertemuan ini adalah sebagai medan untuk para pimpinan masyarakat bertemu dan berbincang menyatakan pandangan serta pendapat secara bersemuka berkaitan isu orang Melayu di Pulau Pinang.
Beberapa resolusi telah berjaya dicapai antaranya;
- Memberikan kesedaran kepada Orang Melayu khususnya di Pulau Pinang, bahawa tanah adalah simbol kuasa
- Perlu ada gerakan bersama membina kekuatan Orang Melayu di Pulau Pinang melalui pembandaran dan perancangan strategik
- Membangunkan masyarakat di dalam komuniti setempat berasaskan Islam agar lahir ummah yang kuat, maju dan unggul (ummah fadhilah)
- Menyokong segala usaha dan gerak kerja yang membawa kepada kesatuan ummah
- Semua pihak perlu mempertahankan warisan dan identiti Pulau Pinang yang berteraskan Melayu dan Islam
- Mengambil cakna setiap perancangan pihak pentadbir negeri supaya tidak menjejaskan nasib dan kedudukan Orang Melayu di Pulau Pinang
- Memberikan pendidikan dan kefahaman kepada ahli masyarakat tentang tugas dan peranan utama ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri dalam menjalankan tugas membawa suara serta mempertahankan kedudukan dan hak Orang Melayu di Pulau Pinang
- Mewujudkan dan menyelaraskan saluran media untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang kedudukan dan keperluan mempertahankan hak Orang Melayu di Pulau Pinang
- Individu dan badan penyelidik serta NGO boleh berperanan memberikan maklumat kepada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri untuk dibawa dalam sidang DUN mahupun Parlimen
- Program wacana dan perbincangan seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai pihak merangkumi ahli politik, ketua NGO dan pertubuhan, serta para penyelidik dan ahli akademik bagi membincangkan secara lebih khusus dan berstrategik keperluan dan tindakan semasa yang perlu dalam menjaga kedudukan dan hak Orang Melayu di Pulau Pinang.
Antara jemputan yang hadir dalam majlis ini ialah YB Dr Ustazah Siti Mastura Muhammad; Ahli Parlimen Kepala Batas, YB Ustaz Muhammad Fawwaz Mohd Jan Ahli; Parlimen Permatang Pauh, YB Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff; ADUN Sungai Dua, YB Hj Amir Hamzah Abdul Hashim; ADUN Permatang Pasir, Datuk Sr Dr Muhammad Farid Saad; Pengerusi Pemikir Melayu Pulau Pinang, Ustaz Budiyanto Unggun, Ketua Perhubungan Negeri BERJASA Pulau Pinang.
Selain itu turut serta Ustaz Mohd Yusoff Abd Mutalib; Pengerusi Bakti Prihatin, Ustaz Mohd Faizal A. Malek; Pengerusi Anjung Kasih Taman Seri Serdang, Ustaz Mohd Sofian Mohd Zain; Pengerusi Surplus Pulau Pinang, En Zikrullah Ismail; Pengerusi Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang dan En Azmi Jaafar; Pengerusi Gabungan Pulau Pinang.