Apa Kata PakarBerita Utama

Gaji minimum: Impak negatif jelas, inflasi dan harga barang akan naik

Tak bantu pun kurangkan beban golongan B40 dan M40

1. BANYAK perkara saya nak ulas mengenai Belanjawan 2025, tapi kita bincang satu-satu supaya lumat.

2. Dilema gaji minimum sentiasa merupakan isu ‘dua muka bagi syiling yang sama’. Ia berlaku di semua negara dunia.

3. Menaikkan gaji minimum perlu bagi menaikkan taraf hidup rakyat bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang antaranya disebabkan oleh inflasi.

4. Ia juga satu tindakan popular bagi mengeluarkan segelintir golongan masyarakat dari zon kemiskinan.

5. Namun impak negatifnya juga jelas. Syarikat biasanya akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan bagi menampung kos operasi.

6. Inflasi juga akan naik sebagai tindak balas semulajadi dalam sistem ekonomi yang digunapakai kini.

7. Syarikat yang tidak mampu akan terpaksa membuang pekerja dan mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran di peringkat nasional.

8. Para pekerja yang berkemahiran lebih tinggi (over-qualified) biasanya terpaksa bekerja dalam posisi gaji minimum menyebabkan para graduan atau anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan susah untuk mendapat kerja.

9. Akhirnya kenaikan gaji minimum yang disertai kenaikan harga barang tidak mengurangkan beban golongan B40 dan M40 pun (offset effect).

10. Semua perkara asas ini sudah tentu diketahui oleh para pembuat polisi dan pakar ekonomi yang membantu PM dalam merangka Belanjawan 2025.

11. Tapi persoalannya, adakah cara lain yang lebih baik? Adakah model Sweeden, Iceland, Denmark, Norway dan Switzerland yang tidak menetapkan gaji minimum kebangsaan dan membiarkan ‘kuasa pasaran’ menentukannya lebih baik?

12. Atau kita perlu menilai perlaksanaan model USA yang menetapkan gaji minima mengikut negeri?

13. Atau jangan lihat terlalu jauh dan kaji Model Gaji Progresif yang dilaksanakan oleh negara jiran Singapura. Model ini menetapkan gaji minimum yang anjal dan berbeza mengikut industri dan kepentingan sesuatu fungsi kerja terhadap ekonomi negara.

14. Di Singapura, kerajaan, pemain industri dan kesatuan sekerja juga mempunyai medan meja bulat untuk berbincang secara berterusan untuk menambahbaik perlaksanaan model ini. Ia bukan sekadar arahan kerajaan yang mesti dipatuhi semua (sepertimana yang dibuat di negara kita).

15. Saya harap kerajaan telah mengkaji dan meneliti semua model yang telah dilaksanakan di seluruh dunia ini. Benar, dalam hal ini tiada satu model yang terbaik kerana ia banyak bergantung kepada iklim, struktur serta dasar ekonomi sesebuah negara!

Naib Presiden Parti BERJASA Malaysia
Ir. Ts. Lukman Al Hakim Mohamad

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker