WHO isytihar Mesir bebas malaria
Malaria membunuh lebih daripada 600,000 orang setiap tahun
KAHERAH, 18 Rabiulakhir 1446H, Isnin – Meskipun 44 negara telah diisytiharkan bebas malaria, namun masih terdapat 249 juta kes wabak berkenaan pada tahun 2022.
Mesir telah disahkan sebagai bebas malaria – apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pencapaian ini sebagai “suatu yang bersejarah” dan kemuncak hampir satu abad usaha untuk membasmi penyakit tersebut.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan Mesir sebagai bebas malaria adalah benar-benar bersejarah.
Ini adalah bukti komitmen rakyat dan kerajaan Mesir untuk membebaskan diri dari belenggu kuno ini.
Secara global, 44 negara dan satu wilayah kini telah disahkan bebas malaria.
Pengiktirafan diberikan oleh WHO apabila sebuah negara telah membuktikan bahawa rantaian penularan malaria endemik oleh nyamuk Anopheles telah dihentikan di seluruh negara selama sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.
Malaria membunuh lebih daripada 600,000 orang setiap tahun, 95 peratus daripadanya di Afrika, menurut WHO.
Terdapat 249 juta kes malaria yang direkodkan di seluruh dunia pada tahun 2022.
Menyebar melalui nyamuk, malaria kebanyakannya ditemui di negara-negara tropika. Jangkitan ini disebabkan oleh parasit. – Agensi