Parlimen Israel lulus RUU haramkan UNRWA
Akan lumpuhkan operasi kemanusiaan di Gaza, beberapa bahagian Tebing Barat
TEL AVIV, 26 Rabiulakhir 1446H, Selasa – Parlimen Israel pada Isnin meluluskan rang undang-undang yang melarang agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di Israel dan Baitulmaqdis yang diduduki.
Ahli Parlimen meluluskan rang undang-undang tersebut dengan 92 undi menyokong dan 10 menolak, setelah bertahun-tahun Israel mengkritik keras UNRWA, terutama sejak permulaan perang di Gaza.
Larangan terhadap agensi PBB itu – yang telah menyediakan bantuan penting di wilayah Palestin dan kepada pelarian Palestin selama lebih tujuh dekad – dilihat bakal menjejaskan usaha kemanusiaan di Gaza, menurut pakar.
Jurucakap UNRWA, Juliette Touma, mengutuk keras keputusan tersebut.
“Adalah keterlaluan bahawa sebuah negara anggota PBB sedang berusaha membubarkan agensi PBB yang turut menjadi penyumbang terbesar operasi kemanusiaan di Gaza,” katanya.
Jika ini dilaksanakan, ia merupakan satu bencana, mungkin menjejaskan operasi kemanusiaan di Gaza dan beberapa bahagian di Tebing Barat.
UNRWA adalah penyedia utama tempat perlindungan, makanan, dan penjagaan kesihatan asas di Gaza yang dilanda perang.
Sebelum undian, AS menyatakan pihaknya bimbang mengenai rang undang-undang tersebut, dengan menekankan peranan “penting” agensi itu dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Washington memberi amaran kepada Israel pada 15 Oktober bahawa ia mempunyai masa 30 hari untuk meningkatkan jumlah bantuan sampai ke Semenanjung Gaza atau berdepan kemungkinan AS menahan sebahagian bantuan ketenteraan.
Awal Isnin, Setiausaha Luar Britain, David Lammy turut menyatakan kekesalan kerana Israel mempertimbangkan untuk menutup operasi UNRWA.
Pada Januari, Israel menuduh beberapa kakitangan UNRWA di Gaza terlibat dalam serangan 7 Oktober, yang mencetuskan perang yang paling dahsyat di wilayah tersebut.
Siasatan mendapati beberapa isu “berkaitan dengan neutraliti” di UNRWA dan mengenal pasti sembilan pekerja yang “mungkin terlibat” dalam serangan tersebut, namun tiada bukti dikemukakan.
UNRWA mengalami kerugian besar, dengan sekurang-kurangnya 223 kakitangannya terbunuh dan dua pertiga kemudahan agensinya di Gaza rosak atau musnah sejak perang bermula.
UNRWA ditubuhkan pada tahun 1949 untuk menyokong pelarian Palestin di Timur Tengah. – Agensi