Pneumonia pembunuh nombor 1 rakyat Malaysia pada 2023
Sistem imun lemah atau penyakit sedia ada selepas pandemik COVID-19

BANGI, 26 Rabiulakhir 1446H, Selasa – Pneumonia atau radang paru-paru menjadi punca utama kematian rakyat Malaysia pada 2023 dengan meragut 18,181 nyawa.
Perkara itu didedahkan menerusi laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Uzir Mohd Mahidin berkata, ini merupakan kali pertama dalam dua dekad pneumonia mengatasi penyakit jantung sebagai penyebab utama kematian, kecuali pada tahun 2021 apabila COVID-19 menjadi penyebab utama kematian di negara ini.
Pada 2023, terdapat 196,965 kematian direkodkan, di mana 119,652 (60.7%) adalah kematian yang disahkan secara perubatan dan 77,313 (39.3%) adalah kematian yang tidak disahkan secara perubatan.
Pneumonia menyumbang 15.2% daripada kematian yang disahkan secara perubatan, diikuti oleh penyakit jantung iskemik (15.1%) dan penyakit serebrovaskular (7.2%).
Memetik laporan media tempatan, beliau berkata, jumlah kematian akibat pneumonia yang tinggi adalah disebabkan oleh jangkitan dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah atau penyakit sedia ada selepas pandemik COVID-19.
Beliau juga menyatakan bahawa kematian yang melibatkan penyakit jantung iskemik berkaitan dengan amalan gaya hidup yang tidak sihat dan diet yang kurang baik.
Faktor risiko lain termasuk obesiti, merokok, tahap kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, sejarah keluarga dan usia.
Uzir menjelaskan, pola unik punca kematian mengikut etnik, di mana diabetes lebih umum dikaitkan dengan kematian dalam kalangan Melayu dan India, manakala kanser merupakan penyebab utama kematian dalam kalangan masyarakat Cina.
Pneumonia adalah penyebab utama kematian bagi masyarakat Cina dan Bumiputera lain, sementara penyakit jantung iskemik menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan masyarakat Melayu dan India.
Selain itu, kematian akibat penyakit kanser juga meningkat, dengan 5,231 kematian dicatatkan pada tahun 2001 berbanding 16,545 kematian pada tahun 2023 – peningkatan sebanyak 216% dalam tempoh dua dekad.