NEW YORK, 27 Rabiulakhir 1446H, Rabu – Menteri-menteri luar Kanada, Australia, Perancis, Jerman, Jepun, Republik Korea dan United Kingdom telah menyuarakan kebimbangan serius melalui satu kenyataan bersama berhubung rang undang-undang terbaharu Israel.
Parlimen Israel semalam meluluskan RUU melarang Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di seluruh wilayah Palestin yang dijajah.
Jika diluluskan, entiti negara dan pegawai Israel akan dilarang berhubung dengan UNRWA, dan kehadiran agensi itu di Israel akan diharamkan.
“UNRWA menyediakan bantuan kemanusiaan penting dan perkhidmatan asas yang menyelamatkan nyawa pelarian Palestin di Gaza, Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan seluruh rantau ini,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perwakilan Jepun ke Palestin.
“Tanpa usaha UNRWA, bantuan dan perkhidmatan penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pengagihan bahan bakar di Gaza dan Tebing Barat akan terjejas teruk.”
Kenyataan tersebut menegaskan bahawa UNRWA dan agensi-agensi PBB lain perlu diberi kebebasan penuh untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang paling memerlukan.
Para menteri luar bersama-sama menggesa Israel agar mematuhi kewajipan antarabangsanya, mengekalkan keistimewaan dan imuniti UNRWA tanpa perubahan.
Ia termasuk melaksanakan tanggungjawabnya untuk memudahkan bantuan kemanusiaan yang penuh, pantas, selamat, dan tanpa halangan dalam semua bentuk, termasuk penyediaan perkhidmatan asas yang sangat diperlukan kepada penduduk awam di wilayah Palestin yang diduduki.
Israel telah lama melobi untuk menutup UNRWA kerana ia merupakan satu-satunya agensi PBB yang mempunyai mandat khusus untuk menjaga keperluan asas pelarian Palestin.
Israel berhujah bahawa jika agensi itu tidak lagi wujud, maka isu pelarian tidak lagi relevan, dan hak sah pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka akan dianggap tidak perlu.
Israel telah menafikan hak itu sejak akhir 1940-an, walaupun keanggotaannya dalam PBB bergantung pada syarat bahawa pelarian Palestin dibenarkan pulang ke rumah dan tanah mereka. – Agensi
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.