Berita UtamaDunia

Arab Saudi kutuk serangan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai

Serangan berterusan tanpa laluan selamat untuk orang awam cari perlindungan

RIYADH, 29 Rabiulakhir 1446H, Jumaat – Arab Saudi mengutuk serangan Israel di utara Gaza sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.

Berucap dalam satu persidangan pelaburan di Riyadh, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud berkata, kejahatan Israel kini hanya menyemarakkan kitaran keganasan.

Beliau mengulangi pendirian bahawa negara itu tidak akan mengiktiraf Israel tanpa pembentukan negara Palestin, sambil menegaskan, Arab Saudi tidak tergesa-gesa untuk mengambil langkah normalisasi selagi keadaan tidak kondusif.

“Kami melihat apa yang berlaku sekarang di utara (Gaza) di mana terdapat sekatan penuh terhadap akses bantuan kemanusiaan.

“Di tambah lagi serangan ketenteraan berterusan tanpa laluan selamat untuk orang awam mencari perlindungan. Ini hanya boleh digambarkan sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Putera Faisal turut menambah bahawa perjanjian perdagangan dan kecerdasan buatan (AI) antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi tidak terikat dengan pihak ketiga dan boleh bergerak dengan cepat.

“Beberapa perjanjian kerjasama pertahanan yang lebih besar adalah lebih rumit. Kami pasti mengalu-alukan peluang untuk menyelesaikannya sebelum akhir penggal pentadbiran (Presiden Joe Biden), tetapi ini bergantung kepada faktor lain di luar kawalan kami,” katanya.

Arab Saudi dan Amerika Syarikat sedang mengkaji satu perjanjian dalam tenaga nuklear, keselamatan dan kerjasama pertahanan yang pada asalnya merupakan sebahagian daripada perjanjian normalisasi yang lebih luas dengan Riyadh dan Israel.

Kebimbangan mengenai konflik di Timur Tengah yang mungkin semakin meluas memuncak awal bulan ini selepas serangan peluru berpandu Tehran ke atas Israel pada 1 Oktober.

Negara-negara Teluk menggesa supaya keadaan tidak diperburukkan, bimbang mereka boleh terperangkap dalam konflik yang semakin meluas.

Sebagai pengeksport minyak utama, Arab Saudi telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tehran dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk meredakan ketegangan di rantau ini, tetapi hubungan masih rumit.

“Saya rasa hubungan kami (dengan Iran) bergerak ke arah yang betul, tetapi sudah tentu, ia rumit oleh dinamika serantau,” kata Putera Faisal. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker