Hirisan bawang McDonald’s didakwa punca wabak E. coli di AS
Bawang tersebut berasal dari pembekal, Taylor Farms yang berpusat di California
WASHINGTON, 29 Rabiulakhir 1446H, Jumaat – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mengenal pasti punca yang menyebabkan wabak E. coli – yang dikaitkan dengan Quarter Pounder McDonald’s – di tengah-tengah bilangan kes meningkat di negara itu.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) melaporkan, 90 orang di 13 negeri terkena jangkitan akibat wabak itu, meningkat daripada 75 orang pada akhir minggu lalu.
Bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital meningkat kepada 27 orang setakat ini. Satu kematian telah dikaitkan dengan wabak ini.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) menyatakan, bawang segar yang dihiris adalah sumber kemungkinan penyakit dalam wabak E. coli
McDonald’s berkata, bawang tersebut berasal dari satu pembekal, Taylor Farms yang berpusat di California.
Syarikat itu telah menarik semula bawang kuning yang dihantar kepada McDonald’s dan rangkaian restoran lain.
FDA mengumumkan, mereka telah memulakan pemeriksaan di pusat pemprosesan Taylor Farms di Colorado Spring di Washington.
Lebih daripada 80 peratus daripada orang yang dijangkiti E. coli yang ditemu bual oleh penyiasat kerajaan melaporkan telah makan makanan McDonald’s yang mengandungi bawang segar yang dihiris, kata FDA.
Pegawai agensi berkata, risiko penyakit yang sedia ada “adalah rendah kerana bawang tersebut telah ditarik semula dan seharusnya tidak lagi disediakan.
Mereka mencatatkan bahawa semua kes yang dilaporkan berlaku sebelum Taylor Farms dan McDonald’s mengeluarkan bawang dari pasaran.
Rangkaian restoran itu mengumumkan bahawa akan mula menyajikan Quarter Pounders semula di ratusan restorannya setelah ujian mengesahkan bahawa patty daging lembu bukanlah sumbernya.
Strain E. coli yang menyebabkan wabak ini boleh menyebabkan cirit-birit berbahaya dan membawa kepada kegagalan buah pinggang serta masalah serius lain.
Ia menyebabkan sekitar 74,000 jangkitan di AS setiap tahun, yang mengakibatkan lebih daripada 2,000 kemasukan ke hospital dan 61 kematian setiap tahun, menurut CDC. – Agensi