Israel teruskan perang di kawasan paling terjejas teruk di Gaza
Penduduk terperangkap akibat kepungan, mayat membusuk di jalanan
Negara haram Israel meneruskan operasi ketenteraan di kawasan paling terjejas teruk di Gaza, dalam konflik yang semakin tiada penghujung.
Pertempuran di wilayah yang telah mengalami kemusnahan besar ini menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat antarabangsa dan seruan supaya Israel menghentikan peperangan terus dilaung-laungkan.
Lebih setahun perang meletus dan menggegarkan seluruh Timur Tengah, tentera Israel masih bertempur di wilayah paling terjejas dan terpencil di Semenanjung Gaza.
Penduduk tempatan mendakwa tentera Israel menyerbu tempat perlindungan yang menempatkan pelarian, mengusir mereka dengan senjata. Pasukan penyelamat pula menghadapi kesulitan untuk menjalankan tugas akibat serangan bom tanpa henti dari pihak Israel.
DI utara Gaza, peperangan ini terus berulang, serangan demi serangan oleh Israel dan diikuti penyusunan strategi oleh pejuang Hamas.
Di bandar Beit Lahiya yang menjadi salah satu sasaran awal pencerobohan darat tahun lalu, dua serangan udara Israel minggu ini telah membunuh sekurang-kurangnya 88 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel mendakwa, sasarannya ialah seorang peninjau di atas bumbung.
Konflik yang semakin memuncak ini mendorong Israel untuk menguatkuasakan langkah-langkah lebih keras. Malah, terdapat cadangan dari bekas jeneral Israel untuk melaksanakan strategi “serah atau kebuluran”.
Situasi makin buruk apabila Isnin lalu, Israel meluluskan undang-undang yang boleh menyekat agensi PBB yang merupakan penyedia bantuan terbesar di Gaza, meskipun mendapat bantahan daripada Amerika Syarikat dan sekutu lain.
Pertempuran berterusan di Gaza
Israel melancarkan serangan terbaharu di utara Gaza pada awal Oktober, khususnya di kem pelarian Jabaliya, yang sesak dan telah lama wujud.
Serangan Israel telah mengorbankan lebih 43,000 rakyat Palestin menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, yang melaporkan lebih separuh daripada korban adalah wanita dan kanak-kanak.
Israel mengakui telah membunuh lebih 17,000 pejuang tanpa menyediakan bukti.
Namun, tentera Israel berulang kali kembali ke kawasan yang telah mereka serang untuk menghadapi serangan baharu oleh Hamas.
Sekurang-kurangnya 16 askar Israel telah terkorban di utara Gaza sejak operasi terkini bermula, termasuk seorang kolonel berusia 41 tahun.
Sehingga kini, Israel belum menyediakan rancangan yang jelas untuk Gaza selepas perang dan telah menolak cadangan Amerika Syarikat untuk Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat kembali memerintah dengan sokongan negara Arab.
Dilaporkan, anggota keselamatan Hamas yang berpakaian biasa masih mengawal kebanyakan kawasan.
Pakar kajian Palestin, Michael Milshtein mendakwa, Israel hanya mempunyai dua pilihan untuk menghentikan kitaran ini: sama ada menduduki semula Gaza sepenuhnya atau mencapai gencatan senjata dengan Hamas yang melibatkan pertukaran tebusan dan pengunduran penuh tentera Israel.
PBB melaporkan sekurang-kurangnya 60,000 orang telah melarikan diri ke Bandar Gaza dari Jabaliya dan bandar sempadan utara Beit Hanoun dan Beit Lahiya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Penduduk yang masih tinggal menggambarkan keadaan terkini – rata-ratanya terperangkap di dalam rumah selama beberapa hari akibat pertempuran, dengan mayat yang membusuk di jalanan dan pasukan penyelamat yang tidak dapat keluar menjalankan tugas. – Agensi